Ciro Immobile seperti yang kita ketahui telah menikmati kemuncak kariernya di Lazio pada musim lalu apabila beliau telah dinobatkan sebagai pemenang kasut emas atau lebih dikenali sebagai Capocannoniere Serie A selepas menjaringkan 36 gol liga.
Mungkin tidak ramai yang mengetahui bahawa wira Lazio ini sebenarnya pernah bermain bersama kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund. Namun kariernya di Dortmund mungkin antara episod yang beliau ingin lupakan kerana aksi flop di Dortmund.
Immobile menikmati musim yang hebat bersama Torino pada kempen 2013/2014 selepas muncul penjaring terbanyak Serie A dengan 22 gol. Pencapaian tersebut telah membuka mata Dortmund yang kemudiannya berjaya merekurut Immobile dengan tanda harga kira-kira €18.5m.
Klopp mendapatkan Immobile bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Robert Lewandowski selepas pemain itu menyertai Bayern Munich. Dicanang sebagai pengganti Lewandowski selepas musim yang memukau bersama Torino, Immobile bagaimanapun gagal mengulanginya bersama Dortmund.
Immobile hanya merekodkan 3 gol liga dalam 24 penampilannya dalam Bundesliga. Ditambah dengan aksi yang teruk dari skuad Dortmund musim itu menyebabkan Dortmund menamatkan liga di tangga ketujuh.
Musim seterusnya, Immobile dipinjamkan ke Sevilla dengan harapan beliau akan menemui kembali sentuhan berbisanya tetapi aksi beliau tetap sama di mana beliau tidak mendapat banyak minit perlawanan.
Hanya 6 bulan di Sevilla, Immobile kemudian dipinjamkan lagi ke Torino. Di sana, Immobile hanya mampu menjaringkan lima gol dan Dortmund merasakan Immobile tidak cukup bagus untuk beraksi di Bundesliga.
Selepas dua tahun menjadi pemain Dortmund, Immobile kemudiannya menyertai Lazio. Beliau akhirnya kembali beraksi dengan baik sehinggakan pada musim lalu, beliau berjaya merekodkan jumlah 42 gol dalam semua pertandingan yang disertai.
Tidak dinafikan perbezaan Serie A dan Bundesliga membuatkan Immobile gagal menyesuaikan diri dengan baik. Di Itali, gaya permainan sedikit perlahan dan lebih kepada taktikal bertahan berbanding Bundesliga yang pantas membuatkan Immobile sukar untuk menyesuaikan diri.
Taktikal di Itali yang kebanyakannya bermain 3-5-2 juga antara puncanya. Di Dortmund, Klopp menggunakan formasi 4-4-2 ketika itu. Perbezaan taktikal menyebabkan rentak permainan Immobile terganggu. Namun sekembalinya beliau ke Lazio, Immobile kini menemui sentuhan berbisanya.
Ciro Immobile menjaringkan 23 gol liga untuk musim pertamanya di Lazio diikuti 29 gol di musim kedua yang menyaksikan beliau bersama Mauro Icardi muncul selaku penjaring terbanyak.
Musim ketiganya, beliau menjaringkan 15 gol liga dan Immobile terus cemerlang untuk musim keempat dengan 36 gol liga dalam 37 penampilan, pencapain yang sekaligus menjadikan beliau sebagai penjaring terbanyak Eropah 2019/20.
Nota editor: Artikel ini merupakan hasil kiriman pembaca kami yang bernama Hakim Johari. Jika anda mahu tulisan anda dibaca oleh pengikut Semuanya BOLA, hantar artikel 300 patah perkataan anda dalam format MS Word ke [email protected].
Kredit featured image: Nicolò Campo/LightRocket via Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Ciro Immobile: