Pertembungan klasik dua pasukan utama di Malaysia dalam aksi CIMB Liga Super 2020 dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil menyaksikan ianya berakhir dengan jaringan 1-1.
Perak menjadi pasukan yang lebih dominan di separuh masa pertama apabila mereka banyak mengucar-kacirkan pertahanan pasukan Selangor.
Shahrel Fikri menggunakan kelebihan fizikalnya untuk mengatasi pertahanan Selangor dengan melepaskan rembatan kaki kanan pada minit ke-9.
Rembatan beliau berjaya melepasi Taylor Regan tetapi terbias kepada Rodney Calvin dan mengelirukan Khairul Azhan untuk meletakkan Perak di depan.
Tersentak dengan itu, Selangor terus memperkemaskan rentak untuk memberikan cabaran kepada Perak.
Ifedayo Olesegun berjaya juga memberikan gol penyamaan buat Selangor pada minit ke-31 menerusi satu tandukan terbang.
Hantaran yang dilakukan dari sebelah kiri berjaya mencari Ifedayo di celah-celah pertahanan Perak untuk menewaskan Nasrullah Aziz di gol.
Separuh masa kedua, Selangor dan Perak jelas mempunyai tujuan yang sama iaitu ingin mencari gol kedua.
Sekali lagi, Perak menjadi pasukan yang lebih dominan apabila melancarkan serangan bertali arus dengan Shahrel dan juga Guilherme De Paula mempunyai beberapa peluang untuk memberikan masalah kepada pintu gol tuan rumah.
Selangor juga cuba untuk mencari gol untuk mendapatkan tiga mata kedua mereka, namun begitu kedua-dua pasukan tidak berjaya untuk mencari gol kemenangan.
Secara keseluruhannya, Perak merupakan pasukan lebih dominan dalam perlawanan akan tetapi untuk mereka tidak berjaya mendapatkan gol kemenangan, begitu juga dengan Selangor.
Kesebelasan utama
Selangor: Khairul Azhan (penjaga gol), Taylor Regan (ketua pasukan), Rodney Calvin, K. Prabakaran, Syahmi Safari (Sean Selvaraj 81′), Safuwan Baharuddin, Syazwan Zainon, Rufino Segovia (Nick Swirad 58′), Sandro Da Silva (Halim Shaari 69′), Brendan Gan, Ifedayo Olesegun
Perak: Nasrullah Aziz (penjaga gol), Amirul Azhan, Shahrul Saad (ketua pasukan), Antony Golec, Careca Morais (Hafiz Ramdan 78′), J. Partiban (Firdaus Saiyadi 67′), Rafiuddin Roddin, Chanthacheary Bin, Leandro Dos Santos, Shahrel Fikri, Guilherme De Paula