Terengganu FC menanti sehingga 80 minit perlawanan untuk kembali mengikat kedudukan seterusnya berhasil meledak gol kemenangan ke atas Kedah untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan akhir 4-3 di Stadium Darul Aman.
Dominique da Sylva menjadi duri dalam daging buat tuan rumah apabila meledak keempat-empat gol pelawat biarpun sepanjang perlawanan mereka berada di belakang Kedah, memburu jaringan untuk akhirnya meraih tiga mata pertama.
Kedua-dua pasukan dalam misi memburu tiga mata penuh untuk aksi kedua CIMB Liga Super 2020 dan telah mempamerkan perlawanan yang bertempo sederhana pada babak pertama tetapi penuh dengan variasi taktikal kedua-dua pasukan.
Turun dengan kesebelasan utama yang sama ketika masing-masing tunduk dalam perlawanan pertama menunjukkan yang kedua-dua pengendali, Aidil Sharin dan Nafuzi Zain merasakan tiada masalah kepada barisan pemain biarpun tewas.
Terengganu terlebih dahulu membuka jaringan menerusi tandukan rendah penyerang, Dominique da Sylva pada minit ke-2 selepas menerima sepakan penjuru yang diambil oleh Lee Tuck untuk menewaskan Ifwat Akmal di gawang tuan rumah.
Ia umpama tamparan yang menyedarkan Kedah daripada lamunan yang akhirnya bangkit mencatur siri asakan berbahaya ke kubu Terengganu antaranya percubaan kapten, Baddrol Bakhtiar dan Kpah Sherman yang cemerlang dinafikan Rahadi Azli.
Minit ke-19, pertahanan tengah, Renan Alves berhasil meledak jaringan penyamaan hasil sepakan percuma oleh Hadin Azman di sebelah kanan gawang. Rahadi Azli gagal menepis kemas yang akhirnya disambut Renan Alves yang tidak dikawal.
Kedah kian bernafsu memburu jaringan dan tiga minit kemudian Kpah Sherman akhirnya berjaya menebus kehampaannya untuk gol kedua tuan rumah.
Menerima hantaran cantik melewati pertahanan pelawat oleh Rizal Ghazali, Kpah Sherman mempamerkan larian derasnya untuk menewaskan benteng dan seterusnya melepaskan rembatan deras ke penjuru kiri gol untuk gol kedua Kedah.
Minit ke-26 dan ke-27, pemain sayap menyerang, Hadin Azman telah melepaskan dua peluang terbaik untuk menambah jaringan apabila percubaannya tidak tepat menuju ke gawang biarpun penjaga gol muda, Rahadi Azli dilihat sudah tertewas.
Akhirnya selepas agak lama, Terengganu kembali berjaya mengatur asakan menerusi percubaan deras Faris Ramli yang cemerlang ditepis Ifwat Akmal di minit ke-32, sebelum percubaan kaki kiri tersasar oleh Faiz Nasir, 10 minit kemudian.
Sang Penyu meneruskan rentak menyerang dan menekan benteng Kedah bermula di awal babak kedua menerusi gerakan-gerakan yang dicipta oleh Sanjar Shaakhmedov, Faris Ramli dan Faiz Nasir, namun Helang Merah tenang menyerap setiap asakan.
Selepas lebih 10 minit aksi di babak kedua berlangsung barulah Kedah mula tampil mengatur asakan, namun mereka acapkali gagal untuk memanfaatkan setiap peluang yang dicipta oleh jentera tengah dan serangan tersebut.
Akhirnya, Kipre Tchetche membuka akaun jaringannya di saingan Liga Super pada minit ke-61 selepas menerima hantaran jauh melewati benteng oleh Hadin Azman – gerakan dan gol yang mirip jaringan Kpah Sherman pada babak pertama.
Tidak menunggu lama, tiga minit kemudian, Terengganu kembali mematuk Helang Merah untuk kembali mendekatkan jurang gol selepas Dominique da Sylva berhasil menambah jaringan buat pelawat bermula daripada sepakan percuma Lee Tuck.
Tempo sederhana pada awal perlawanan dilihat semakin rancak dihasilkan oleh kedua-dua pasukan dalam usaha untuk menamatkan perlawanan dengan mata.
Sikap ‘tamak’ Kipre Tchetche pada minit ke-73 selepas berhasil mencipta peluang keemasan buat tuan rumah dengan lariannya daripada tengah padang, menewaskan dua pertahanan seterusnya disudahkan dengan percubaan tersasar jauh.
Terengganu dilihat kembali mengatur asakan dan Ifwat Akmal tewas buat kali ketiga untuk Terengganu mengikat kedudukan hasil jaringan mudah dan hatrik Dominique da Sylva, yang membuat lambungan untuk menewaskannya pada minit ke-81.
Dominique da Sylva tidak berhenti di situ. Gol ke-4 dihasilkannya selepas menerima umpanan cantik Sanjar Shaakhmedov di minit ke-84 untuk akhirnya Sang Penyu kembali mendahului perlawanan selepas ketinggalan agak sekian lama.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Kedah cuba bangkit menekan pelawat namun segalanya sudah terlewat buat tuan rumah dengan percubaan lemah Kpah Sherman di penghujung perlawanan menamatkan baki sisa perjuangan Kedah.
KREDIT FEATURED IMAGE: MFL