Masih ingat dengan replika Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin, yang dibina khas oleh Legoland Malaysia dan telah dipamerkan untuk tontonan ramai di Legoland Nusajaya, Johor?
Replika stadium tersebut telah dibina menggunakan 76,000 Lego seberat lebih 100 kilogram yang didatangkan khas dari Kladno, Republic Czech dan telah disiapkan dalam tempoh 350 jam.
Dan itu mungkin adalah satu-satunya stadium di Malaysia yang telah dibina menggunakan Lego dan ianya adalah pada 2015. Adakah pembinaan replika seperti ini wujud di luar negara?
Bina replika stadium dengan lego
Pada tahun yang sama, di Manchester, England, salah seorang penyokong Crystal Palace, Chris Smith telah ‘terjebak’ dengan pembinaan replika stadium menggunakan Lego.
Bercakap kepada Metro pada September 2015, Chris menyatakan bahawa misinya adalah untuk menyiapkan keseluruhan replika 92 stadium kelab-kelab profesional di England.
Pada ketika itu, Chris telah menyiapkan beberapa stadium antaranya Stamford Bridge, White Hart Lane dan Highbury, stadium Arsenal sebelum berpindah ke Emirates.
Chris juga memiliki sebuah laman web iaitu Brickstand, yang menjual replika-replika stadium untuk penyokong-penyokong yang meminati stadium yang dibina menggunakan Lego.
Telah siap 40 dari 92 replika
Pada 2017, Finlay Greig dari I News telah menjejaki semula Chris dan mendapati dia telah menyiapkan 40 replika stadium dan juga telah memasukkan stadium-stadium di Scotland dalam misinya.
“Projek saya adalah untuk membina 92 replika stadium di England dan sehingga kini saya telah menyiapkan 40 daripada 92 stadium. Idea stadium di Scotland pula datang selepas itu.
“Kesemua 92 stadium kelab di England dan 12 stadium kelab daripada Liga Premier Scotland (SPL) telah dimasukkan dalam senarai tugasan saya,” jelas Chris kepada I News.
Menurut Chris lagi, dia meluangkan beberapa jam setiap minggu untuk membina stadium tersebut. Dan ianya bermula dengan cubaan membina stadium kelab yang disokongnya, Crystal Palace.
Bagaimana ianya bermula?
“Pada suatu hari, saya telah melihat satu hasil ciptaan daripada Lego dan berfikir yang mungkin ada seseorang telah membina stadium daripada kepingan Lego sebegitu.
“Saya terus mencarinya di internet, namun sangat mengejutkan apabila saya tidak menemukannya langsung dan berfikir yang mungkin saya patut mulakannya,” ujar Chris kepada Mirror.
Menurut Chris, dia telah menggunakan gambar-gambar yang boleh didapati di internet dan Google Maps sebagai sumber rujukan tanpa perlu pergi ke stadium-stadium tersebut.
“Jika saya pergi (ke stadium), saya akan melihatnya terlalu terperinci. Ia sebenarnya lebih kepada cuba mencari apa yang sesuai menggunakan Lego itu sendiri,” tambahnya lagi.
Masa, wang dan usaha
Membina stadium daripada beratus-ratus kepingan Lego pastinya memakan masa yang lama dan juga memerlukan usaha yang sangat gigih. Ia juga pasti melibatkan kos yang besar.
Chris telah berkongsi cerita kepada I News mengenai pembinaan replika Stadium Wembley, yang menurut Chris, antara stadium terbesar yang telah dibina olehnya.
“Rasanya Wembley adalah stadium terbesar yang telah saya bina dan ianya daripada 2500 kepingan Lego. Selalunya stadium yang saya bina melibatkan sehingga 1000 kepingan Lego.
“Kebiasaanya untuk pembinaan stadium ia melibatkan kos sebanyak £150 dan saya akan menjualnya dalam lingkungan £300. Ianya lebih kepada hobi disamping meraih duit poket,” jelas Chris.
Setiap replika yang telah siap, akan dimuatnaik ke laman webnya untuk tujuan penjualan. Baginya, dia menjualnya dengan harga yang rendah agar ianya menjadi mampu milik.
“Saya meletakkan harga yang rendah supaya penyokong-penyokong yang benar-benar berminat mampu untuk mendapatkan stadium itu,” jelasnya lagi.
Mudahkah membina menggunakan lego?
Bercakap kepada Daily Mail pula, Chris menjelaskan yang versi pertama setiap stadium akan melibatkan proses mencuba daripada hasil gambar dari internet.
Proses pembinaan awal ini akan memakan masa sehingga dua dan tiga minggu dan apabila Chris telah mendapat ‘rentaknya’, proses tersebut akan menjadi lebih singkat.
“Ianya lebih menarik untuk membina (stadium) kelab-kelab kecil. Ia cendurung untuk memiliki lebih banyak gaya,” ujar pemuda yang kini berusia 38 tahun itu.
“Ia akan membosankan jika kita membuat perancangan kerana ia tidak membawa apa-apa makna, kerana anda tidak akan tahu bagaimana bentuknya selagi anda tidak mulakannya.
Chris mengambil contoh proses pembinaan Stadium Loftus Road milik Queens Park Rangers yang menurutnya tidak mengikut sebarang perancangan.
“Melihatkan stadium QPR, ia seakan-akan stadium Lego yang paling semulajadi, tetapi tempat duduknya sangat dalam sehingga sukar untuk mendapatkan kecerunan yang betul.
“Tetapi akhirnya saya berjaya siapkannya juga!” jelas Chris sambil menyatakan pasti akan timbul masalah apabila kita memikirkan ianya sangat mudah.
Situasi di Malaysia
Setakat pencarian di internet, saya tidak menemui aktiviti-aktiviti pembinaan replika stadium menggunakan kepingan Lego di Malaysia selain daripada ‘kumpulan pengumpul’.
Penulis Semuanya BOLA, Meor Abdullah Syamim adalah antara yang terlibat dalam pembinaan replika sebegini, namun ianya tidak menggunakan kepingan Lego.
Meor menjelaskan kepada Semuanya BOLA yang replika stadium dibinanya adalah jenis ‘3D Puzzle Stadium’ yang diimport daripada China dan boleh dibeli secara atas talian.
“Saya jenis yang gemar mencari dan terjumpa benda ini di Facebook. Tetapi ianya agak mahal. Saya mencari di shopee pula dan mendapati ianya lebih murah.
“Saya tertarik dengan replika sebegini kerana saya rasakan ianya boleh dibuat koleksi untuk diletak di rak pameran. Tambahan pula saya memang ‘gila’ bola,” ujar Meor sambil memaklumkan telah menyiapkan dua buah stadium bersama dua orang rakan baiknya.
Selaku peminat Chelsea, stadium yang telah disiapkan oleh Meor tentulah Stamford Bridge dan ianya mengambil masa 3 jam 40 minit untuk disiapkan.
Penutup
Sebenarnya, hobi juga mampu menjana pendapatan. Chris Smith telah menjadikan hobinya bergelumang dengan set Lego sebagai sumber pendapatan tambahannya.
Selain Chris, terdapat juga seorang lagi ‘pembina’ replika stadium sepertinya iaitu Jules Richards. Misinya juga sama, menyiapkan 92 stadium yang terdapat di England.
Selepas setahun setengah terlibat, Richards telah menyiapkan 66 replika stadium yang terdapat di England dan Wales. Setiap model mengambil masa 12 jam untuk disiapkan.
Anda adalah ‘kipas susah mati’ set Lego? Anda adalah pengumpul set Lego? Kongsikan kepada kami sekiranya anda mengetahui rakan-rakan yang terlibat dengan hobi seperti ini.
Atau apa kata anda turut mulakan hobi sebegini. Disamping mengisi masa terluang, mungkin satu masa nanti anda dapat menjana pendapatan daripadanya.