Masa depan Chris Smalling bersama Man. United dilaporkan tidak menentu sebelum ini. Pada pra musim yang lalu, bek tengah tersebut dikatakan mempertimbangkan untuk keluar dari Old Trafford. Lantas, Smalling menjadi buruan beberapa kelab dalam dan luar England.
Media di England melaporkan, Man. United tidak rela kehilangan Chris Smalling. Kedua-dua pihak kini sedang berbincang untuk kontrak baharu.
Smalling dilaporkan meminta £120,000 seminggu daripada Man. United. Kenaikan sekitar £40,000 daripada apa yang Smalling dapat pada hari ini.
Kontrak semasa Chris Smalling akan berakhir pada hujung musim ini. Man. United ada opsyen untuk melanjutkan kontrak beliau selama 12 bulan lagi.
Namun begitu, Man. United mahu melanjutkan kontrak Smalling untuk 3 tahun. Jadi, perbicangan untuk kontrak bernilai £120,000 itu dikatakan sedang berjalan.
Man. United sedang aktif memburu pemain bek tengah baharu. Mourinho dilaporkan masih berharap untuk dapat membawa bek tengah berkualiti pada Januari ini. Mourinho kecewa gagal membawa bek tengah baharu ke dalam pasukannya pada pra musim lalu.
Man. United gagal mendapatkan pemain seperti Boateng, Godin, Alderweireld dan juga Harry Maguire. Keterbukaan Mourinho dalam menyatakan pemburuan bek tengah, membuatkan beberapa pemain – di posisi tersebut – merasakan tempat mereka semakin terancam.
Selain daripada Smalling pemain seperti Eric Bailly, Phil Jones, Marcos Rojo dan Victor Lindelof juga tidak pasti sama ada mereka adalah pemain pilihan utama Mourinho untuk jangkan panjang. Buat masa ini, Mourinho tidak ada duo bek tengah yang benar-benar konsisten.
Namun begitu di antara kesemua pemain tersebut, Chris Smalling antara pemain yang paling digemari Mourinho. Beliau boleh dikatakan pemain utama Man. United di bawah Jose Mourinho. Smalling hanya disisihkan atas sebab-sebab seperti kecergasan dan kecederaan.
Mourinho pernah berkata: “Saya suka kesemua yang ada pada Smalling kecuali gaya rambut beliau.”
Chris Smalling berusia 29 tahun pada hari ini, mulai hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Everton pada pra-musim yang lalu.
Dipercayai Everton masih lagi menaruh minat untuk mendapatkan beliau. Namun begitu Chris Smalling sebelum dikatakan hanya memilih kelab yang bermain untuk UCL.
Everton perlu membayar gaji yang agak tinggi jika mahu memujuk Smalling menyertai mereka.
Chris Smalling antara berberapa pemain yang kini berberapa pemain yang Man. United harap dapat lanjutkan kontrak mereka dengan segera selain daripada David de Gea, Anthony Martial, Antonio Valencia, Jones, Matteo Darmian, Andreas Pereira dan James Wilson.
Sementara itu, pemain seperti Juan Mata, dan Ander Herrera dilaporkan sudah ditawarkan kontrak baharu. Namun mereka masih belum menyatakan persetujuan. Juan Mata menyatakan beliau memerlukan sedikit masa untuk menilai tawaran itu dan akan membuat keputusan pada Januari hadapan.
Sementara itu, Ander Herrera dikatakan menolak tawaran terbaru Man. United kerana tak gembira dengan angka yang ditawarkan. Man. United dilaporkan hanya menawarkan kenaikkan yang sangat sedikit daripada gaji semasa beliau iaitu £75,000 seminggu.
Herrera meminta kenaikan yang lebih tinggi daripada Man. United. Namun begitu, Mourinho tidak terdesak untuk mengekalkan Ander Herrera kerana pemain itu bukan pemain utama beliau.