Quantcast

BERITA

Chris Smalling: Manchester United Mesti Menamatkan Saingan Liga Sekurang-Kurangnya Ditempat Kedua

Selepas mencatatkan kemenangan 2-1 keatas Chelsea di Old Trafford tempohari, pertahanan Manchester United, Chris Smalling mengharapkan agar pasukannya dapat menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris sekurang-kurangnya di tempat kedua.

Dengan jurang mata yang agak jauh ditinggalkan Manchester City, skuad bimbingan Jose Mourinho itu seakan-akan sudah tewas dalam perebutan mahkota kejuaraan liga paling popular di dunia ini.

”Saya fikir ianya sangat jelas apabila begitu lama berada di kedudukan kedua liga dan tempat kedua akan menjadi kedudukan paling minimum buat kami sehingga tamat musim ini,” ujar pertahanan antarabangsa England itu.

”Hakikatnya kami akan bertemu Liverpool di tempat sendiri dan saya rasakan itu merupakan kelebihan yang besar buat kami.”

”Sekiranya kami dapat menjarakkan diri dengan Chelsea dan Liverpool dan melakukan kerja kami, kami mampu untuk melakukannya.”

”Tetapi saya fikir itu adalah matlamat kami yang utama.”

Manchester United kembali berada ditangga kedua liga selepas bangkit dari ketinggalan satu gol yang dihasilkan Willian.

Romelu Lukaku dan Jese Lingard memadamkan kelebihan yang dimiliki Chelsea itu untuk menghadiahkan kemenangan bermakna pada perlawanan yang lebih dikuasai pasukan pelawat.

”Keyakinan sudah membuahkan hasil dan kami bersedia untuk perlawanan berikutnya.”

Mengulas mengenai perlawanan bertemu Liverpool, Smalling berkata:

”Ini merupakan perlawanan yang besar dan saya merasakan hakikat bahawa kami banyak beraksi di gelanggang sendiri menentang pesaing utama dan itu menjadi faktor utama kerana prestasi baik di tempat sendiri.”

Sebelum bertemu Liverpool di Old Trafford pada 10 Mac nanti, United terlebih dahulu akan berkunjung ke Selhurst Park untuk menentang Crystal Palace pada 5 Mac.