Chris Smalling Kekal Dengan Manchester United Sehingga Tahun 2022

Pemain pertahanan England, Chris Smalling menandatangani kontrak baharu dengan kelabnya, Manchester United yang menyaksikan beliau sah kekal di Old Trafford sehingga tahun 2022.

Pemain yang berusia 29 tahun itu menandatangani perjanjian sehingga Jun 2022 dengan pilihan untuk melanjutkan kontrak tersebut selama setahun lagi.

Bekas pemain Fulham itu mula menyertai United pada tahun 2010 dan telah memenangi kesemua kejuaraan utama England bersama The Red Devils, termasuk kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim 2010-11 dan 2012-13.

Smalling juga merupakan tonggak utama ketika United meraih kejuaraan Piala Europa edisi 2016-17.

Secara keseluruhan, dia telah melakukan 307 penampilan buat United dan menghasilkan 18 jaringan.

“Musim ini merupakan musim kesembilan saya bersama United dan saya berasa amat gembira untuk kekal menjadi sebahagian daripada pasukan ini.

“Ia sememangnya penghargaan tertinggi buat saya untuk bermain dalam pasukan sehebat United.

“Kami kini sedang menumpukan kepada jadual padat sepanjang musim ini,” katanya dalam laman web rasmi pasukan.

Smalling melakukan penampilan sulung bersama skuad kebangsaan England pada 2011.

Secara keseluruhan, dia telah melukan 31 penampilan buat skuad The Three Lions itu, namun dipinggirkan pengurus pasukan, Gareth Southgate, dalam kempen Piala Dunia di Russia, Jun lalu.

United akan bertandang ke Anfield bagi bertemu Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi nanti.

Leave a Reply