Pemain pertahanan Reading, Chris Gunter telah dipilih menjadi Pemain Terbaik Tahunan Wales 2017 sekaligus berjaya memecah dominasi empat tahun yang diraih bintang Real Madrid, Gareth Bale.
Gunter sudah mengecapi kaps ke-81 bersama skuad kebangsaan Wales dan menjadi pemain ketiga terbanyak membuat penampilan bersama skuad kebangsaan. Rekod penampilan terbanyak kini masih lagi menjadi milik penjaga gol, Neville Southall yang mencatatkan 92 penampilan.
Beliau yang merupakan pemain penting ketika bersama skuad kebangsaan dibawah bimbingan mendiang Gary Speed dan kemudiannya digantikan oleh Chris Coleman, berjaya mempamerkan prestasi yang konsisten dan menjadi salah seorang pemain kegemaran para penyokong.
Kali terakhir Gunter terlepas aksi antarabangsa adalah pada tahun 2010 sewaktu perlawanan menentang Switzerland yang menyaksikan Wales tewas 4-1. Gunter tidak beraksi kerana menjalani penggantungan perlawanan.
Dengan kejayaan yang diraih menjadikan beliau merupakan pemain pertama yang berjaya memenangi gelaran tersebut selain daripada Gareth Bale sejak tahun 2012.
Namun begitu Bale tidak pulang dengan tangan kosong pada majlis yang diadakan di Vale Resort semalam apabila beliau dipilih menjadi Pemain Terbaik Pilihan Pemain.
Pemain Stoke City, Joe Allen pula menjadi pilihan para peminat apabila dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Pilihan Peminat.
Pemain muda Liverpool, Ben Woodburn yang melakukan penampilan bersama skuad senior Wales dalam Kelayakan Piala Dunia berjaya menggondol anugerah Pemain Muda Terbaik.
Woodburn yang berusia 17 tahun dimasukkan pada babak kedua ketika bertemu Austria dan berjaya menjaringkan gol kemenangan buat Wales pada perlawanan yang berlangsung pada bulan lalu.
Sumber :
BBC (2017) – http://www.bbc.com/sport/football/41469355
Sky Sports (2017) – http://www.skysports.com/football/news/12018/11065064/chris-gunter-named-welsh-player-of-the-year-ben-woodburn-scoops-young-player-award
Wales Online (2017) – http://www.walesonline.co.uk/sport/football/chris-gunter-joe-allen-liverpool-13706772