13 kelab Chinese Super League (CSL) dan 5 pasukan League 1 China (divisyen 2) diberikan amaran untuk menyelesaikan gaji pemain mereka atau dibatalkan penyertaan mereka daripada liga bola sepak China musim hadapan.
Kelab-kelab tersebut didapati tidak membayar gaji pemain mereka mengikut perjanjian. Ada yang kerap terlambat membayar gaji serta bonus, ada yang membawa ke depan baki gaji bulan semasa. Ada yang masih belum membayar tunggakan.
Masalah ini disuarakan oleh beberapa pemain yang tidak mendapat gaji dan bonus seperti yang dijanjikan dalam kontrak. Musim lalu, bekas bintang Chelsea, Ramires pernah mengadu masalah yang sama tetapi ia sudah diselesaikan selepas itu.
Selesaikan segera!
Persatuan Bola Sepak China (CSA) memberikan tempoh sehingga 15 Ogos ini untuk semua kelab menunjukkan dokumen sokongan yang membuktikan mereka sudah membayar gaji pemain.
Dalam senarai yang dikeluarkan oleh CFA minggu lalu, juara bertahan Guangzhou Evergrande antara kelab yang ada di dalam senarai.
Selain Evergrande, Shanghai SIPG yang memiliki nama besar seperti Hulk, Ricardo Carvalho dan Oscar juga di dalam senarai amaran.
Shanghai Shenhua, yang memberikan gaji £615,000 seminggu kepada Carlos Tevez tidak terkecuali daripada masalah ini.
Selain daripada 13 pasukan di CSL, 5 lagi pasukan di divisyen 2 juga gagal menyelesaikan gaji dan bonus pemain. Kontroversi ini menjadi panas selepas kerajaan China menghantar audit mereka untuk mengaudit kelab-kelab bola sepak di China.
Kerajaan China risau dengan fenomena ‘duit kubur’ yang berlaku di China. Duit kubur ini adalah simbolik kepada corak perbelanjaan kelab China yang menabur duit seperti menabur duit kubur dalam tradisi China.
China dijangka akan melaksanakan gaji siling untuk pemain-pemain bola sepak di China. Mereka juga akan mengawal perlaburan yang mencurigakan di dalam kelab-kelab bola sepak.
CSA juga akan menyiasat dakwaan yang ada ejen bola sepak yang mengambil kesempatan di atas situasi semasa.
Sebelum ini bintang Jerman, Lukas Podolski menyatakan beliau tidak jadi ke China kerana menganggap ia seperti menyokong ‘penjenayah’.
Ada 8-9 ejen bola sepak yang masuk campur dalam urusan perpindahan dan kontrak pemain. Podolski menuduh ia sebagai barah di dalam bola sepak.
Ejen-ejen ini akan mendapat bonus yang besar. Podolski bukan anti kepada ejen tetapi mempertikaikan, kenapa perlu sampai 8 orang yang mengendalikan perpindahan seorang pemain?
Berikut adalah senarai 13 kelab CSL an 5 kelab divisyen 2 China yang didapati tidak membayar gaji pemain dengan sempurna:
CSL:
Shanghai Shenhua, Shanghai SIPG, Beijing Guoan, Changchun Yatai, Chongqing Dangdai Lifan, Hebei China Fortune, Guangzhou Evergrande, Guangzhou R&F, Jiangsu Suning, Liaoning Whowin, Shandong Luneng Taishan, Tianjin Quanjian, Tianjin TEDA.
League 1 China:
Beijing Renhe, Dalian Transcendence, Shanghai Shenxin, Shijiazhuang Ever Bright.
Sumber
Mirror – http://www.mirror.co.uk/sport/football/news/chinese-super-league-crisis-13-10865718