Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe tampak masih mampu bertenang walaupun ketika ini peluang Harimau Malaya untuk ke separuh akhir dilihat semakin berliku.
Vietnam memintas skuad negara selepas menang ke atas Malaysia, malah Malaysia turun hingga ke kedudukan ketiga Kumpulan A selepas Myanmar turut merekodkan kemenangan.
Ini telah mengundang kritikan terhadapnya dan juga para pemain, namun baginya, Malaysia telah mempamerkan aksi permainan yang baik dan tidak ada apa-apa yang perlu mereka ubah.
“Kami bermain bola sepak yang baik dan saya tidak akan mengubah cara permainan kami cuma pemain perlu memperbaiki kelemahan ketika menyerang,” jelasnya kepada Berita Harian.
Cheng Hoe turut membuat perbandingan dengan dua perlawanan terdahulu yang baginya aksi menentang Vietnam adalah lebih baik. Namun, disebabkan kecuaian, Malaysia kecundang.
“Saya rasa kalau kita bandingkan dengan dua perlawanan lalu, kali ini kita pamerkan permainan terbaik.
“Kita nampak kombinasi dari hantaran bola kita lebih menguasai permainan tetapi kerana satu dua kesalahan, hilang bola di kawasan kita jadi Vietnam ambil kesempatan,” tambahnya lagi.
Perkara ini turut dipersetujui oleh penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat yang menyatakan dua kesilapan mudah telah menyumbang kepada kekalahan pertama Harimau Malaya.
“Kami telah buat dua kesalahan dan Vietnam menghukum kami dan itu sahaja perbezaannya,” ujar Khairul Fahmi yang dipetik daripada laman sesawang Piala AFF Suzuki.
Pemain yang turut dikenali dengan panggilan Apek itu menuntut rakan sepasukan agar kekal fokus kerana skuad kebangsaan masih memiliki peluang untuk layak ke separuh akhir.
Walaubagaimanapun, kekurangan yang jelas kelihatan adalah pemain-pemain Malaysia seperti hilang arah tuju untuk mengasak Vietnam yang dilihat sangat berdisiplin bertahan.
Bahagian tengah tampak ‘mati’ dan gagal mengalirkan bola ke jentera serangan. Cheng Hoe perlu segera mencari solusi kepada permasalahan ini apabila berdepan Myanmar, Sabtu depan.
Malaysia dijadualkan akan turun menentang pasukan yang juga sukar untuk ditewaskan, Myanmar dalam perlawanan terakhir kumpulan di kandang sendiri, Stadium Nasional Bukit Jalil.