Walaupun tewas 1-2 kepada Lubnan selepas dikecewakan dengan jaringan minit akhir pemain lawan di Beirut, peminat bola sepak tanah air menghamburkan pujian kepada skuad kendalian Tan Cheng Hoe kerana mampamerkan semangat juang yang tinggi dan bermain lebih bersemangat.
Skuad negara bangkit menyamakan kedudukan melalui tandukan Syafiq Ahmad ketika Lubnan mendahului dengan jaringan penalti daripada Hassan Martouk.
Walaupun kekalahan itu menyaksikan Malaysia terus kempunan untuk meraih kemenangan dalam 12 perlawanan, namun skuad kebangsaan memperagakan aksi jauh lebih baik berbanding ketika seri 2-2 dengan Mongolia.
Mengulas kepada Berita Harian, Cheng Hoe mengakui anak buahnya bermain lebih baik ketika menentang Lubnan dan menghambur pujian di atas semangat melawan pemainnya.
“Untuk beraksi buat kali pertama selepas hanya berlatih selama tiga hari, pemain saya memberikan persembahan yang sungguh mengagumkan.
“Pujian harus diberikan kepada pemain kerana mereka sudah memberikan yang terbaik. Kita tahu Lubnan jauh lebih baik berbanding kita. Tapi inilah generasi baharu skuad kebangsaan.”katanya.
Jaringan minit akhir daripada El-Helwe meledak gol kemenangan Lubnan sekali gus memusnahkan hasrat Malaysia untuk catat sekurang-kurangnya keputusan seri.
“Saya harap situasi ini dapat dijadikan pengajaran supaya kekal fokus sepanjang 90 minit.
“Pada masa sama, saya juga mahu pemain kekal konsisten pada masa akan datang. Mereka masih muda dan memerlukan banyak lagi pendedahan untuk meraih pengalaman.” jelasnya.
Selepas ini, Malaysia akan menentang Bhutan, pasukan ranking ke-188 dunia, bagi satu lagi aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini dengan misi untuk meraih kemenangan pertama dalam tempoh 16 bulan.