Prestasi cemerlang skuad Malaysia B-23 dalam Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun di China berjaya membuka mata ramai pihak termasuk pengendali baharu skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.
Anak buah Datuk Ong Kim Swee itu mempamerkan aksi yang wajar dipuji walaupun tewas kepada Korea Selatan di peringkat suku akhir.
Kejayaan Malaysia melangkah ke suku akhir untuk berada dalam kelompok 8 terbaik Asia dalam kejohanan kali ini merupakan pencapaian yang terbaik skuad muda negara apatah lagi ini merupakan debut pertama negara.
Tan Cheng Hoe yang ke China menyaksikan perlawanan skuad B-23 negara mengakui terpikat dengan persembahan beberapa pemain skuad itu selepas menewaskan Arab Saudi 1-0, Selasa lalu.
Enam pemain muda skuad itu iaitu Adam Nor Azlin, Matthew Davies, Nor Azam Azih, Safawi Rasid, Syamer Kutty Abba dan penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed sudah pun membuat penampilan antarabangsa bersama pasukan senior.
Skuad Harimau Malaya akan menghadapi satu lagi aksi kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Lubnan di Beirut pada 27 Mac ini.
Bercakap kepada Berita Harian, Cheng Hoe kemungkinan akan memanggil lebih ramai pemain muda serta beberapa pemain senior yang berpengalaman.
“Saya menyaksikan semua tiga perlawanan (peringkat Kumpulan C) di China dan saya fikir ia satu pendedahan terbaik buat semua pemain.
“Bermain dalam kejohanan itu akan memberikan banyak impak positif terhadap taktik, teknik, dan kekuatan fizikal serta mental mereka.” katanya.
Cheng Hoe bagaimanapun turut menjelaskan terhadap kesan menyenaraikan terlalu ramai pemain muda kerana pentas perlawanan di peringkat senior sangat berbeza dengan peringkat remaja.
“Kita tidak boleh menyenaraikan semua pemain muda dalam skuad kebangsaan kerana bola sepak senior di peringkat antarabangsa berbeza.
“Kita perlukan skuad gabungan yang mana pemain berpengalaman dapat membimbing pemain muda dan saya perlu memantau semua prestasi pemain dalam Liga M,” jelasnya.
Difahamkan Cheng Hoe terpikat dengan aksi barisan pemain pertahanan yang diketuai oleh Adam Nor Azlin, Dominic Tan dan Irfan Zakaria serta kelincahan pemain muda dari Kedah, Akhyar Rashid.
“Saya perlu berbincang dengan pembantu saya, namun saya fikir pemain B-23 sudah membuktikan kemampuan mereka,” tambah Cheng Hoe yang dinaikkan pangkat sebagai jurulatih kebangsaan selepas Nelo Vingada meletakkan jawatan bulan lalu.