Cheng Hoe Harap Liridon Mampu Beri Impak Positif Kepada Harimau Malaya

Tan Cheng Hoe Malaysia Indonesia Training

Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe adalah antara individu yang menjadikan Liridon Kransiqi sebagai antara pemain import digeruni di Liga Malaysia ketika bersama Kedah beberapa tahun yang lalu.

Maka tidak hairanlah bagaimana jurulatih dari Alor Setar itu amat mengenali kualiti yang boleh diberikan pemain kelahiran Kosovo itu kepada pasukan yang diwakilinya.

Malah Cheng Hoe tidak menafikan jentera serangan pasukan akan lebih mantap dengan kehadiran pemain tersebut.

“Kalau ditakdirkan satu hari nanti Liridon bermain bersama pasukan negara, ia satu impak terbaik kepada pasukan kerana beliau mempunyai karakter dan permainan yang bermotivasi tinggi sekali gus memberi perkembangan positif di bahagian serangan pasukan,” ujar beliau kepada Bernama.

“Kita tahu semasa di Kedah beliau bermain begitu baik dan merupakan jentera peledak pasukan selain bekerja keras dalam setiap latihan dan perlawanan. Jadi saya harap beliau teruskan sumbangan itu bersama pasukan kebangsaan nanti.”

Semalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui satu kenyataan mengesahkan pemain tengah JDT itu telah sah menjadi warganegara Malaysia selepas menerima kad pengenalan (MyKad) di Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya.

Walaupun sudah bergelar pemain natralisasi, Cheng Hoe berkata beliau dan jurulatih lain di dalam pasukan akan melakukan penilaian terhadap pemain itu terlebih dahulu sebelum disenaraikan dalam pasukan kebangsaan.

“Beliau daripada segi fizikal, taktikal dan teknikal telah meningkat tetapi kita kena pantau dahulu prestasinya bersama JDT dalam saingan Liga-M musim ini kerana hampir setahun beliau tidak beraksi secara kompetitif,” jelas pengendali berusia 50 tahun itu.

Leave a Reply