Chelsea dilaporkan oleh media di Itali, Calciomercato bahawa juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu semakin hampir untuk mendapatkan khidmat pertahanan kiri AS Roma, Emerson Palmieri.
Calciomercato turut melaporkan pemain berusia 23 tahun itu akan melengkapkan perpindahannya ke Stamford Bridge selepas AS Roma bersetuju dengan nilai £22 juta yang ditawarkan Chelsea.
Dengan perpindahan yang semakin hampir untuk dilengkapkan itu, AS Roma mengharapkan agar pemain pertahanan Manchester United, Matteo Darmian dapat menjadi pengganti kepada Emerson.
Selepas sekian lama Chelsea mengintai peluang untuk merekrut Alex Sandro daripada Juventus, berita ini pasti akan menamatkan penantian kelab London tersebut untuk memberikan persaingan sihat kepada Marcos Alonso yang sentiasa menjadi pilihan utama di posisi pertahanan sebelah kiri.
Sebelum ini ejen pemain berusia 23 tahun itu mengesahkan perbincangan telah dilakukan bersama Chelsea dan mengatakan bahawa terdapat kemungkinan yang konkrit berkenaan gosip perpindahan ini.
”Kami dalam proses perbincangan dan penilaian,” kata Garcia. ”Perpindahan ke Chelsea merupakan satu kemungkinan yang konkrit. Benar. Kedua-dua kelab telah berbincang dan kita akan lihat sekiranya mencapai kata sepakat yang positif.”
”Sudah tentu Emerson menyukai untuk beraksi di Liga Perdana Inggeris dan merupakan impiannya untuk beraksi dibawah kendalian Antonio Conte, dia merupakan antara pengurus yang terbaik di dunia.”
Emerson Palmieri baru sahaja kembali beraksi pada bulan November tahun lalu selepas pulih dari kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) dan baru beraksi dalam dua perlawanan setelah penampilan semulanya itu.
Keadaan semasa ini membuatkan seorang lagi pemain Chelsea yang beraksi di posisi yang sama, Kenedy semakin hampir untuk dipinjamkan dalam masa beberapa hari sahaja lagi dan Newcastle United merupakan kelab yang berminat untuk mendapatkannya.