Serge Daniel Boga ialah seorang pencari bakat yang bertugas untuk Chelsea.
Baru-baru ini, Boga mendedahkan bagaimana Chelsea melepaskan peluang terbaik untuk merekrut Kylian Mbappé ke Stamford Bridge, enam tahun yang lalu.
Dalam satu temubual bersama Goal, Boga memberitahu mengenai usaha beliau untuk membawa Pemain muda terbaik FIFA 2018 itu untuk menyertai Chelsea pada tahun 2013.
Menurutnya, bintang Piala Dunia Perancis itu pernah hadir dalam beberapa sesi pemilihan pemain di Cobham untuk menyertai The Blues pada 2012.
Malangnya pengurusan akademi ketika itu enggan menerima pemain tersebut yang ketika itu masih berusia 13 tahun.
Boga berkata, Mbappé telah menjalani latihan pemilihan selama seminggu, namun ianya masih belum mampu untuk menambat hati pihak Chelsea ketika itu.
Keputusan Chelsea itu menyebabkan Mbappé dan keluarganya turut kecewa dan marah.
Menurut Boga lagi, kerana gagal dalam pemilihan kali kedua, ibu Mbappé tidak lagi membenarkan anaknya untuk terus hadir pada sesi percubaan seterusnya.
“Saya masih ingat apa yang diperkatakan ibu Mbappé sehingga ke hari ini.
“Dengar! Anak saya (Mbappé) tidak akan kembali ke sana (Chelsea).”
“Jika mahu, Chelsea harus segera memberi kontrak sekarang atau tunggu lima tahun lagi. Dan ketika itu, anak saya sudah berharga €50 juta,” ujar Boga seperti apa yang diperkatakan oleh ibu Mbappé kepadanya.
Boga turut berkongsi kisah bagaimana beliau mendengar nama Mbappé buat pertama kali ketika berada di kota Paris bersama rakannya.
“Chelsea adalah pasukan yang pertama membuka peluang kepada Mbappé untuk menjalani sesi percubaan sebelum Real Madrid.”
“Saya mempunyai seorang rakan yang bekerja untuk Nike, bernama Denis Chantron.”
“Ketika saya berada di Perancis, kami bertemu dan dia bertanya kepada saya:
“Adakah anda pernah mendengar seorang remaja lelaki bernama Mbappé? Dia bermain untuk kelab AS Bondy, sebuah kelab kecil di Paris,” tanya Chantron.
Setelah mendapat maklumat dari Chantron, Boga telah ke Bondy untuk menyaksikan sendiri aksi Mbappé.
Ternyata, apa yang diceritakan mengenai aksi Mbappé adalah benar, dan pemain itu mempunyai potensi amat menakjubkan.
“Saya pergi ke sana dan memerhatikan Mbappe sebelum membuat panggilan semula ke Chantron dan memberitahu pemain ini sangat istimewa,” ujar Boga lagi.
Selepas itu, Boga pulang ke London dan menceritakan kepada semua pihak termasuklah penolong ketua pembangunan belia Chelsea, Jim Fraser .
Baca juga: Kylian Mbappe Dedahkan Mengapa Beliau Tolak Tawaran Arsenal, Terkenangkan Pengalaman Di Chelsea