Chelsea mengikuti rapat langkah seterusnya oleh bekas pengurus, Antonio Conte sebelum menilai kembali tuntutan pampasan oleh pengendali dari Itali itu.
Nilai pampasan tersebut dikatakan akan bergantung kepada masa hadapan Conte yang dikaitkan dengan tiga kelab besar Eropah.
Conte sudah pun dikaitkan dengan jawatan pengurus di Manchester United dan Real Madrid. Laporan terkini turut mengatakan Conte berpotensi untuk ke Bayern Munich selepas permulaan suram gergasi Jerman itu musim ini.
Chelsea memecat Conte tiga bulan yang lalu, namun sehingga kini kedua-dua pihak masih gagal mecapai persetujuan berkenaan pampasan yang harud dibayar kepada pengurus itu.
Berdasarkan terma tahun akhir kontrak, pengurus berusia 49 tahun itu akan menerima £9 juta jika dipecat oleh Chelsea.
Namun kelab London itu berkata Conte bertanggungjawab atas pemecatan tersebut, dan berkeras enggan membayar jumlah penuh pampasan tersebut.
Pertikaian di antara Chelsea dan Conte akan diselesaikan di mahkamah sekiranya tiada persetujuan mampu dicapai. Tetapi segalanya juga akan bergantung sekiranya Conte akan menjadi pengganti kepada Jose Mourinho yang berada di dalam tekanan di Old Trafford.
Ini kerana antara terma kontrak tersebut ialah Conte tidak berhak menuntut sebarang pampasan dari tempoh beliau mengambil alih mana-mana kelab Inggeris selepas meninggalkan Chelsea. Terma tersebut bagaimanapun tidak termasuk jika Conte bersetuju menerima tawaran dari luar England.
Ini bermakna jika Conte menerima jawatan di Manchester United sebelum tahun baru, Conte akan kehilangan £5 juta dari jumlah tuntutan keseluruhan.
Jika Conte memilih untuk ke Real Madrid atau Bayern Munich, Conte masih lagi boleh berkeras untuk bayaran penuh pampasan.
Zinedine Zidane sebelum ini menjadi antara pilihan utama untuk menggantikan Mourinho. Namun baru-baru ini kenyatan dari ejen kepada bekas pengendali Real Madrid itu, Alain Migliaccio menafikan Zidane akan menghala ke Manchester.
Sumber dari Jerman juga mengaitkan Zidane dengan jawatan di Bayern Munich jika kelab Bavarian itu memutuskan untuk memecat Niko Kovac selepas permulaan yang teruk di Bundesliga.
Menuju tempoh rehat untuk memenuhi kalendar perlawanan antarabangsa, Bayern menduduki tangga ke-6 Bundesliga.
Manchester United dilaporkan mensasarkan Mauricio Pochettino, tetapi Tottenham Hotspur yakin pengendali dari Argentina itu tidak akan meninggalkan London di pertengahan musim.
Rekod Conte yang pernah menjulang Chelsea menjuarai kejuaraan liga dan Piala FA selepas mengambil alih dari Mourinho pada 2016 bagaimanapun mungkin sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan di Old Trafford.