Chelsea akhirnya mencapai persetujuan dengan Atletico Madrid untuk membenarkan perpindahan Diego Costa untuk kembali menyertai kelab Sepanyol itu dengan nilai perpindahan dilaporkan sekitar £57 juta oleh The Guardian.
Perpindahan tersebut akan diselesaikan pada jendela perpindahan Januari akan datang, tertakluk kepada terma dan juga laporan perubatan Diego Costa.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Atletico Madrid, Diego Costa akan menjalani pemeriksaan perubatan dalam tempoh beberapa hari yang akan datang. Penyerang berusia 28 tahun itu meninggalkan Atletico pada 2014 untuk menyertai Chelsea ketika era Jose Mourinho.
Pemain antarabangsa Sepanyol itu belum lagi beraksi untuk pasukan bimbingan Antonio Conte pada musim ini dan dilaporkan berada di negara kelahirannya Brazil untuk mengelakkan dirinya kembali ke Stamford Bridge.
Diego Costa hanya boleh didaftarkan sebagai pemain Atletico Madrid pada Januari selepas pergantungan mendaftarkan pemain baharu terhadap kelab Sepanyol itu tamat. Kedua-dua pasukan juga akan bertemu dalam perlawanan peringkat kumpulan UEFA Champions League pada Rabu minggu hadapan
Diego Costa menyertai Chelsea dari Atletico Madrid dengan harga £32 juta, dibayar kepada kelab Sepanyol tersebut pada tiga tahun yang lalu.
Diego Costa dilaporkan mempunyai kemelut dengan pengendali Chelsea, Antonio Conhte selepas menerima pesanan khidmat ringkas yang menyatakan beliau tiada dalam perancangan pengendali berbangsa Itali itu di dalam pasukan Chelsea untuk saingan pada musim ini.
Penyerang tersebut kemudian menegaskan pendiriannya untuk kembali menyertai Atletico Madrid, dan mendakwa Chelsea melayan beliau seperti seorang penjenayah kerana meletakkan nilai perpindahan yang mahal dan dianggap mustahil.
Ketibaan Alvaro Morata daripada Real Madrid di Stamford Bridge pada jendela perpindahan yang lalu juga bermakna tempat Costa di dalam pasukan The Blues telah diisi.
Keretakan hubungan di antara Diego Costa dan juga Antonio Conte bermula pada awal tahun ini, apabila penyerang tersebut tiada di dalam senarai pemain yang akan bertandang ke Leicester. Tindakan oleh Conte itu adalah susulan tindakan Costa yang mempersoalkan jurulatih kecergasan pasukan.
Pada masa yang sama, Costa dikatakan menarik minat kelab dari China dengan tawaran pendapatan sekitar £30 juta. Namun, Chelsea tidak berminat untuk sebarang urusniaga pada masa itu.
Bagaimanapun kelab China tersebut, Tianjin Quanjin mengubah pendirian untuk membawa Diego Costa ke China selepas peraturan baharu mengenai pemain asing dikuatkuasakan di Chinese Super League.
Sumber:
1. Dominic Fifield, The Guardian (2017): There is irony in Diego Costa’s deal with Atlético but Chelsea saw the best of him; https://www.theguardian.com/football/blog/2017/sep/21/irony-diego-costa-deal-atletico-chelsea-saw-best-of-him