Chelsea & Lampard Kecewa Tammy Abraham Jadi Mangsa Perkauman Ketika Piala Super Eropah

Tammy Abraham telah diserang secara perkauman ketika aksi Piala Super Eropah yang lalu. Serangan perkauman itu dilakukan menerusi media sosial, selepas Tammy Abraham gagal menyempurnakan penalti.

Kegagalan Tammy Abraham menyempurnakan penalti itu membuatkan beliau dicemuh dengan label berbentuk rasis.

Chelsea sudah mengeluarkan kenyataan media, bahawa mereka kecewa dengan kejadian itu dan berjanji akan mengambil tindakan tegas di atas perkara itu.

Lebih menyedihkan, serangan perkauman itu dilaporkan daripada penyokong Chelsea sendiri yang kecewa kerana Tammy Abraham membuatkan mereka terlepas Piala Super Eropah. Chelsea masih menyiasat sama ada benar penyokong itu adalah pemegang pas bermusim kelab, seperti yang dilaporkan.

Pengurus Chelsea, Frank Lampard juga kecewa dan menyatakan sokongan beliau kepada Tammy Abraham. Lampard kecewa dengan golongan yang menggelar diri mereka penyokong, melakukan perkara sedemikian rupa kepada pemain.

“Saya sangat kecewa dengan orang yang kononnya penyokong Chelsea. Tammy [berani] datang kepada saya meminta untuk mengambil penalti ke-5, kerana beliau mahu menonjolkan dirinya dalam malam besar, ketika seluruh dunia menyaksikannya.”

 

Chelsea dalam kenyataan mereka berkata: “Kami sangat kecewa selepas melihat kiriman jelik itu di media sosial. Chelsea menegaskan, segala bentuk kelakuan diskriminasi adalah tidak boleh diterima.”

“Tiada tempat untuk diskriminasi perkauman di dalam kelab ini.”

“Dan jika ada bukti yang jelas bahawa pemegang tiket bermusim ataupun ahli kelab ini terlibat dalam gejala seperti ini. Kami akan mengambil tindakan yang paling tegas ke atas mereka.”

Chelsea sebelum ini sudah mengambil tindakan berat kepada beberapa penyokong mereka yang menghina Raheem Sterling dengan bentuk rasisme. Salah seorang daripada mereka dikenakan tindakan digantung seumur hidup, dan ada yang digantung untuk beberapa tahun.

Kick It Out turut menyelar perkara itu dan menzahirkan sokongan mereka kepada pemain muda itu.

Beberapa rakan pemain seperti Jesse Lingard dan Marcus Rashford turut menyatakan sokongan kepada Tammy Abraham. Bekas pemain Everton, Kevin Campbell turut menyatakan kemarahan beliau di atas apa yang berlaku.

Leave a Reply