Juara bertahan Liga Perdana Inggeris yang kelihatan akan melepaskan mahkota kejuaraan musim ini, Chelsea kembali bangkit dari dua kekalahan berturut-turut dalam saingan liga setelah menumpaskan West Bromwich Albion (WBA) dengan keputusan 3-0 di Stamford Bridge pagi tadi.
Pemain bintang kelahiran Belgium, Eden Hazard memainkan peranan penting pada perlawanan ini setelah beliau menjaringkan dua gol manakala Victor Moses menyumbangkan satu lagi gol buat The Blues.
Chelsea di hadapan pada minit ke-25 selepas Eden Hazard yang seperti kebiasaan mempamerkan kelincahannya bagi memaksa pemain pertahanan lawan bekerja keras.
Beliau berjaya menyempurnakan rembatan hasil gerakan ‘one two’ bersama Olivier Giroud untuk membuka tirai jaringan.
Jaringan tersebut kekal hingga tamat separuh masa pertama bagi memberi sedikit kelebihan buat pasukan tuan rumah.
Victor Moses menambah jaringan kedua selepas pemain antarabangsa Nigeria itu melakukan gerakan solo bagi memecah kubu lawan dan kemudiannya melakukan satu lagi gerakan ‘one two’ cantik bersama Cesc Fabregas.
Moses dengan tenang menolak masuk bola bagi menewaskan penjaga gol WBA, Ben Foster pada minit ke-63.
Antonio Conte memasukkan Alvaro Morata bagi menggantikan Giroud bagi meningkatkan serangan dalam usaha terus memburu jaringan.
Kelincahan Hazard sekali lagi menjadi masalah buat WBA apabila menambah jaringan ketiga perlawanan yang juga merupakan jaringan kedua peribadi buatnya.
Berpunca daripada hantaran yang dilakukan Alvaro Morata, Hazard menggunakan kelincahan yang dimiliki untuk melepasi kawalan pertahanan pelawat sekaligus meledakkan rembatan yang tidak berjaya diselamatkan oleh Foster bagi mengesahkan kemenangan 3-0 tersebut.
Kemenangan yang dicatatkan ini dapat mengurangkan sedikit tekanan yang dirasai pengendali Chelsea, Antonio Conte ketika ini berikutan prestasi hambar dipamerkan anak buahnya selepas tewas pada dua perlawanan terdahulu keatas Bournemouth dan Watford.