Chelsea bangkit daripada tewas mengejut ditangan West Ham United pada perlawanan lalu apabila berjaya menewaskan Huddersfield Town 3-1 di Stadium John Smith’s pagi tadi.
Kemenangan ke-11 dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini buat Chelsea telah dibantu prestasi cemerlang yang ditampilkan pemain antarabangsa Brazil, Willian yang menghasilkan satu jaringan dan melakukan dua bantuan kepada jaringan skuad The Blues.
Jaringan pertama Chelsea menjelma pada minit ke-23 selepas Willian yang menerima bola daripada Eden Hazard melakukan lorongan cantik kepada pemain tengah, Tiemoue Bakayoko yang meluru masuk ke kotak penalti.
Bakayoko walaupun dikawal pemain pertahanan tuan rumah, masih mampu melakukan percubaan yang memerangkap penjaga gol, Jonas Loessl untuk membuat tirai jaringan.
Ketika perlawanan babak pertama berbaki dua minit, Willian berjaya menanduk masuk hantaran lintang yang dilakukan oleh Marcos Alonso bagi menutup aksi separuh masa pertama dengan kedudukan 2-0 memihak pelawat.
Willian terus bertindak cemerlang apabila beliau yang sekali lagi mendapat hantaran lintang dari Alonso telah melakukan umpanan kepada Pedro untuk menyempurnakan sepakan ‘placing’ yang sekali lagi merobek gawang Huddersfield pada minit ke-50.
Tuan rumah mendapat jaringan saguhati pada minit akhir perlawanan selepas Laurent Depoitre menanduk masuk hantaran lintang dari sebelah kiri yang dilakukan oleh Florent Hadergjonaj.
Menurut statistik yang dilakukan oleh Opta, Chelsea menjadi pasukan paling banyak menjaringkan gol pada musim ini menerusi tandukan. Sebanyak 10 jaringan telah dilakukan oleh mereka hasil daripada tandukan.
Sementara itu pemain muda Ethan Ampadu (17 tahun 89 hari) menjadi pemain kedua termuda buat Chelsea yang melakukan penampilan dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Rekod pemain termuda dipegang oleh Jody Morris yang ketika itu berusia 17 tahun dan 43 hari.
Mengulas mengenai kemenangan ini di laman web rasmi pasukan, Antonio Conte jelas kagum dengan apa yang ditunjukkan anak buahnya pada kunjungan ke Yorkshire itu.
”Dari mula kami mempamerkan personaliti dan keinginan yang hebat untuk menang pada perlawanan ini, menentang sebuah pasukan yang bagus,” kata Conte.
”Jangan lupa bahawa Huddersfield menang keatas Manchester United dan Manchester City juga mempunyai kesukaran sebelum memenangi perlawanan pada enam minit terakhir, jadi kami mesti gembira dengan prestasi hari ini.”
”Kami perlu terus mencuba untuk bermain dengan cara bola sepak seperti ini, kerana malam ini saya merasakan para pemain begitu menikmati cara bola sepak sebegini. Mereka menguasai permainan, mencipta banyak peluang dengan persefahaman baik diantara penyerang kami.”
”Saya lihat banyak perkara positif dan satu perkara negatif, iaitu melepaskan jaringan pada minit akhir perlawanan. Kami perlu meningkatkan aspek ini kerana mengelakkan dari dibolosi adalah sangat penting buat penjaga gol kami, pertahanan kami dan keseluruhan pasukan. Itu sahaja perkara negatif buat malam yang baik bagi kami.”