Chelsea Hanya Mampu Bertahan Selama 17 Hari Sahaja Lagi

Chelsea hanya mampu bertahan selama 17 hari sahaja lagi selepas kelab dibekukan oleh kerajaan UK pada ketika ini dan mereka kini sedang merayu agar beberapa sekatan yang dikenakan ke atas kelab dapat dilonggarkan oleh pihak kerajaan.

Menurut sumber laporan yang dikeluarkan oleh The Daily Mail, aliran tunai kelab hanya mampu bertahan selama 17 hari sahaja lagi dan berkemungkinan lebih awal dari itu.

Segala asset milik Roman Abramovich telah dibekukan oleh pihak kerajaan UK termasuk kelab bola sepak Chelsea, selepas beliau dikatakan berkomplot dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Laporan sama turut mendakwa yang pihak kerajaan UK sedang berusaha untuk menjual Chelsea pada ketika ini dengan mereka meletakkan tanda harga bernilai £3 billion untuk sesiapa yang berminat.

Walau bagaimanapun, segala urusan penjualan akan diuruskan oleh pihak kerajaan, dengan Roman Abramovich tidak akan menerima satu sen pun hasil dari penjualan kelab.

Keuntungan hasil dari penjualan kelab dilaporkan akan didermakan kepada badan amal bebas seperti Jawatankuasa kecemasan bencana.

Menurut sumber Daily Mail juga, kepimpinan kelab pada ketika ini akan memohon kepada pihak kerajaan supaya melonggarkan sekatan yang dikenakan ke atas kelab.

Seandainya sekatan itu tidak dilonggarkan oleh pihak kerajaan, maka Chelsea akan kehabisan aliran tunai dalam tempoh kurang dari 17 hari.

Mengikut sekatan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan sebelum ini, The Blues tidak dibenarkan menjual tiket atau merchandise mereka lagi sehingga tarikh diberitahu kelak.

Chelsea kebiasaannya akan menerima £600,000 untuk setiap kali ada perlawanan yang dilangsungkan di Stamford Bridge dan jika ia disekat maka mereka akan kehilangan sumber utama kelab.

The Blues juga tidak dibenarkan untuk menandatangani mana-mana pemain baru, atau menawarkan kontrak baru kepada semua pemain yang ada dalam skuad mereka pada ketika ini.

Sekatan ini juga menyebabkan penaja utama jersi Chelsea, Three UK sudah mengumumkan yang mereka mahu menggantung tajaan kepada The Blues.

Hyundai dan Nike juga ketika ini turut sama sedang mempertimbangkan untuk menarik balik tajaan mereka ke atas Juara saingan FIFA Club World Cup itu.

Hal ini akan menyebabkan Chelsea kehabisan tunai lebih cepat dari yang dijangkakan, dengan mereka ketika ini dilaporkan hanya mempunyai £16 juta sahaja dalam akaun kelab.

Gaji pemain sahaja secara keseluruhannya bernilai £28 juta sebulan, dan ia tidak termasuk kos serta gaji staff lain di Stamford Bridge.

Memandangkan kelab kini sudah tidak mempunyai pendapatan, maka kepimpinan kelab memutuskan untuk bertemu Kementerian Digital, Budaya, Media dan Sukan pada hari ini.

Pimpinan kelab mahu memohon agar sekatan itu dilonggarkan sedikit untuk setidak-tidaknya membenarkan mereka menjual tiket kerana ia merupakan sumber pendapatan utama kelab.

Chelsea juga sangat berharap agar sekatan untuk mereka membeli pemain serta menawarkan kontrak baru kepada pemain ditarik balik oleh kerajaan UK.

Hal ini kerana kontrak beberapa orang pemain termasuk Antonio Rudiger, Andreas Christensen dan Cesar Azpilicueta akan tamat pada hujung musim ini.

Walau sedang berdepan kontroversi pada ketika ini, namun anak-anak buah Thomas Tuchel itu tetap memberi tumpuan kepada aksi mereka di atas padang.

Chelsea semalam turun beraksi bertemu Norwich City dalam aksi saingan Premier League, dengan mereka berjaya menewaskan The Canaries dengan keputusan 3-1.

Gol jaringan Trevoh Chalobah, Mason Mount dan Kai Havertz sudah cukup untuk memberikan tiga mata penuh kepada The Blues di Carrow Road.

Kemenangan itu juga merupakan kemenangan keempat berturut-turut Chelsea dalam saingan Premier League dengan tiga darinya merupakan kemenangan di halaman lawan.

Skuad kendalian Thomas Tuchel itu selepas ini akan memberi tumpuan untuk aksi bertemu Newcastle United di Stamford Bridge dan kemudian mereka bakal terbang ke Perancis untuk bertemu Lille dalam saingan Champions League.

Semoga sahaja isu luar padang ini tidak menjejaskan aksi para pemain Chelsea untuk menghadapi perlawanan penting mereka selepas ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN