Chelsea telah mengumumkan pergantungan empat penyokong mereka daripada menghadiri perlawanan secara sementara untuk membenarkan siasatan berhubung insiden kecaman berbaur perkauman terhadap pemain Manchester City, Raheem Sterling.
Sebuah video dari perlawanan membabitkan Chelsea dan Manchester City pada hujung minggu lalu – memperlihatkan beberapa penyokong melemparkan kecaman berbaur perkauman terhadap Sterling telah menjadi tular di media sosial.
Perbuatan dikutuk ramai
Insiden tersebut telah dikutuk ramai pihak dari segenap komuniti bola sepak. Chelsea dan pihak Polis Metropolitan turut mengesahkan mereka telah mengkaji video sebagai bahan bukti kejadian tersebut benar-benar telah berlaku.
Melalui satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan Chelsea, kelab itu berkata:
“Chelsea FC telah mengambil tindakan menggantung empat penyokong dari menghadiri perlawanan membabitkan Chelsea sehingga dakwaan mengenai perbuatan penyokong-penyokong tersebut terhadap Raheem Sterling dalam perlawanan menentang Manchester City pada Sabtu lalu disiasat sepenuhnya.
Chelsea fans being racist to Raheem Sterling pic.twitter.com/H7bbORF7WG
— Niall (@NiallMoran_) December 8, 2018
“Pihak kelab sedang menyiasat perkara ini dan akan bekerjasama dengan pihak polis dalam menyalurkan maklumat dan sebarang bentuk bukti yang diperlukan.
“Chelsea FC ingin menegaskan sebarang bentuk diskriminasi adalah perbuatan terkutuk, dan jika ada di kalangan mereka adalah pemegang pass bermusim, pihak kelab akan menarik kembali segala kemudahan termasuk akan mengambil tindakan pergantungan dari menghadiri perlawanan. Chelsea FC juga akan menyokong sebarang tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa terhadap mereka.
Manchester City sokong tindakan Chelsea
Manchester City melalui satu kenyataan turut menyokong sepenuhnya langkah yang telah diambil oleh Chelsea.
“Manchester City FC menyambut baik langkah yang telah diambil oleh Chelsea FC dengan menggantung individu-individu yang terlibat dengan kecaman berbaur perkauman terhadap Raheem Sterling ketika perlawanan sedang berlangsung di Stamford Bridge pada Sabtu lalu.
“Pihak kelab dan Raheem [Sterling] akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Chelsea FC dalam memberikan bantuan sewajarnya seperti penyaluran maklumat yang diperlukan kepada pihak berkuasa mengenai insiden tersebut.
“Malah pihak kelab dan Raheem Sterling komited untuk bekerja bersama mana-mana pihak atau organisasi untuk menolak diskriminasi perkauman dari sukan bola sepak.”
Sehingga artikel ini ditulis, belum ada tangkapan dilakukan. Tetapi Chelsea mengesahkan mereka kini berkerja rapat dengan pihak polis untuk melancarkan proses siasatan.