Ini bukan tipu, tapi betul-betul!
Chelsea sekali lagi mencipta kejutan apabila mereka dikhabarkan sedang dalam misi untuk membawa seorang lagi penyerang Premier League ke Stamford Bridge.
Apa yang mengejutkan, mereka bukan mensasarkan penyerang berprofil tinggi tetapi pemain dari kelab liga bawahan sahaja.
Sebelum ini peminat bola sepak dikejutkan dengan berita yang Chelsea dikatakan mahu mendapatkan pemain penyerang West Ham United Andy Carroll dan juga penyerang veteran Stoke City – Peter Crouch.
Namun kini, Chelsea terus mengejutkan semua pihak dengan kali ini mereka dikatakan sedang merancang untuk membawa penyerang Burnley iaitu Ashley Barnes ke Stamford Bridge.
Ya benar, Ashley Barnes dari pasukan Burnley.
Menurut sumber di England, Barnes kini berada dalam radar pasukan Chelsea selepas mereka cuba untuk mencari pilihan lain.
Hal ini kerana, Carroll yang merupakan sasaran utama kelab masih lagi terlibat dengan kecederaan.
Sementara itu, Chelsea juga ada cuba mendapatkan penyerang dari luar England dengan mereka cuba mendapatkan Edin Dzeko dari AS Roma.
Akan tetapi, pastinya sukar untuk Chelsea mendapatkan beliau kerana pemain tersebut merupakan penyerang utama pasukan tersebut.
Di pihak Burnley, mereka menegaskan yang belum ada lagi tawaran rasmi dari pihak Chelsea untuk mendapatkan Barnes.
Barnes pada musim ini menjaringkan 4 gol untuk Burnley. Setakat ini beliau sudah melakukan 26 penampilan untuk kelab tersebut.