Chelsea mungkin sudah tidak mampu bersabar dengan kerenah Romelu Lukaku dan telah memulakan usaha untuk mencari calon terbaik untuk menggantikan penyerangnya itu.
Menurut satu laporan oleh Football London, kelab Liga Perdana Inggeris tersebut berminat untuk memancing Victor Osimhen dari Napoli.
Chelsea are one of the clubs keeping a close eye on Victor Osimhen, according to @Gazzetta_it and Italian Journalist Ciro Venerato.
– via @Sport_Witness pic.twitter.com/TT4c5oSrzw
— Simon Phillips (@siphillipssport) September 28, 2021
Nasib Lukaku di Stamford Bridge masih terumbang-ambing disebabkan komennya yang mengatakan beliau ‘tidak gembira’ di Chelsea dan cenderung untuk kembali semula ke Inter Milan.
Kenyataan itu dibuat sewaktu temubual berama Sky Italia, lalu pengurus The Blues, Thomas Tuchel bertindak menggugurkan pemain berusia 28 tahun itu ketika pertemuan dengan Liverpool tempoh hari.
Selaku antara kelab paling kaya di dunia, bukan satu masalah untuk Chelsea mendapatkan penyerang baharu dan Osimhen telah pun disenaraikan sebagai calon terbaik.
Bagaimanapun kelab Itali itu telah meletakkan tag harga bernilai £66 juta (RM380 juta) untuk penyerang Nigeria tersebut dengan mengambil kira kontraknya yang masih berbaki sehingga Jun 2025 selain prestasi semasanya ketika ini.
Selepas menampilkan persembahan cemerlang bersama Lille pada musim 2019/20 dengan menjaringkan 18 gol dari 28 penampilan dalam semua pertandingan, kelibat Osimhen mula menarik minat beberapa kelab Eropah untuk mendapatkannya.
Pemain berusia 22 tahun itu kemudian menjadi pemain Afrika termahal dalam sejarah selepas Napoli bersetuju untuk membayar yuran perpindahan bernilai €81.3 juta (RM405 juta) kepada kelab Perancis berkenaan.
Berdasarkan angka yang didedahkan oleh media Perancis, L’Equipe, Napoli akan membayar €71.2 juta dan €10.1 juta bonus tambahan menjadikannya rekod pembelian termahal kelab Serie A tersebut.
Jumlah tersebut mengatasi nilai £72 juta yang dibayar Arsenal tahun lalu untuk mendapatkan penyerang Ivory Coast, Nicolas Pepe yang kemudian tempatnya diganti oleh Osimhen di Stade Pierre Mauroy.
Nama Osimhen mula mencuri tumpuan apabila beliau menjaringkan 10 gol dalam kejohanan Piala Dunia bawah 17 tahun (B-17) pada 2015 dan membantu negaranya menjulang kejuaraan buat kali kelima di Chile dan dinamakan sebagai pemain muda Afrika terbaik pada tahun tersebut.