Chelsea akan melaporkan salah laku Bayern Munich ke FIFA jika kelab London itu menemui sebarang salah laku oleh kelab Bundesliga itu berkenaan saga perpindahan pemain muda, Callum Hudson-Odoi.
Salah laku tersebut ialah jika Bayern Munich cuba menggunakan pintu belakang untuk mendapatkan pemain tersebut – termasuk sebarang bentuk rundingan atau perbincangan dengan ahli keluarga atau wakil dari pemain tersebut.
Bayern sebelum ini dilaporkan telah membida sebanyak £35 juta untuk pemain tersebut – dengan bayaran pendahuluan sebanyak £15 juta dan baki £20 juta adalah dari nilai tambah berlainan.
Pengarah Sukan banyak mulut
Dalam komen secara terbuka di pusat latihan musim sejuk Bayern Munich yang berpengkalan di Qatar, Pengarah Sukan, Hasan Salihamidzic menyifatkan Hudson-Odoi sebagai pemain yang pantas, mempunyai kebolehan menggelecek yang tinggi, dan sudah pasti sangat sesuai untuk bermain bersama pasukan seperti Bayern Munich.
Peraturan di Premier League tidak membenarkan sebarang komen secara terbuka dari kelab lain sepertimana yang dilakukan oleh Hasan Salihamidzic. Komen sedemikian dianggap sebagai cubaan menggunakan ‘pintu belakang’ dengan cuba mempengaruhi pemain di England.
Namun demikian, Salihamidzic tidak melanggar sebarang peraturan oleh FIFA kerana tiada peraturan sedemikian diwartakan oleh badan induk bola sepak dunia itu.
Chelsea tetap berkeras
Chelsea sebagai pemegang kontrak sah Hudson-Odoi berkeras enggan melepaskan pemain tersebut kepada Bayern, namun mengambil risiko menanggung kerugian apabila kontrak pemain tersebut di Stamford Bridge tamat pada musim panas 2020.
Sebelum ini Hudson-Odoi dikatakan telah bertanya mengenai kehidupan di Jerman kepada rakan sepasukan, Antonio Rudiger yang berasal dari Berlin.
“Beliay bertanyakan kepada saya mengenai Jerman, Saya hanya boleh memberikan nasihat, namun akhirnya ia terpulang kepada beliau untuk menentukan masa depan sendiri.
“Anda harus melihat cerita dari kedua-dua arah. Hudson-Odoi boleh mengembangkan potensi beliau di sini [Chelsea], atau memilih untuk ke Jerman. Jangan lupa bahawa Bayern Munich adalah kelab besar,” ujar Rudiger.
“Saya hanya mampu mengucapkan selamat maju jaya, walaupun secara peribadi saya mahukan beliau kekal bersama kami di Chelsea.”