Chelsea menjadi semakin hampir untuk memecahkan rekod perpindahan kelab berkenaan apabila hampir pasti untuk membawa masuk Alex Sandro dari Juventus dengan harga £61 juta.
Rekod pembelian termahal Chelsea sebelum ini ialah £50 juta yang digunakan untuk membawa masuk Fernando Torres daripada Liverpool pada tahun 2011.
Seorang bek kiri antara yang terbaik di Eropah, Sandro memiliki kepantasan dan cenderung untuk melakukan larian untuk menyerang dari posisi bek kiri.- kualiti yang sama dimiliki oleh Ashley Cole satu masa dahulu.
Jika perpindahan Alex Sandro direalisasikan, maka ia seperti pencarian untuk menggantikan Ashley Cole di bek kiri pasukan Chelsea telah berakhir dengan harga yang sangat mahal.
Sejak Ashley Cole meninggalkan Stamford Bridge, Chelsea telah membawa masuk 3 pemain untuk mengisi kekosongan posisi bek kiri sejak tahun 2014.
Kedatangan Sandro bermakna Chelsea akan membelanjakan sejumlah £122 juta untuk posisi berkenaan sejak 3 tahun yang lalu.
Mari kita singkap kembali setiap pemain yang telah dibawa masuk oleh Chelsea untuk posisi bek kiri, namun gagal untuk mencapai piawaian yang ditetapkan oleh pasukan dari Kota London ini sehinggalah kepada pembelian Alex Sandro.
1. Felipe Luis (£16 juta dari Atletico Madrid, 2014)
Felipe Luis tiba dari Atletico Madrid pada musim panas 2014 dengan tanda harga £16 juta.
Bek kiri daripada Brazil ini merupakan tongak utama kempen Atletico Madrid yang menyaksikan mereka muncul juara La Liga pada musim 2013-2014.
Pada usia 28 tahun, Felipe Luis dicanang sebagai salah seorang bek kiri terbaik yang beraksi di Eropah pada waktu itu.
Felipe Luis tiba dengan reputasi hebat bersama-sama dengan rakan sepasukannya di Atletico Madrid, Diego Costa.
Bagaimanapun, Luis sukar untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di Barat London.
Kesabaran Mourinho terhadap Luis akhirnya berakhir, dan memilih untuk menurunkan Cesar Azpilicueta di posisi bek kiri Chelsea.
Luis hanya tampil dalam 9 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Chelsea sebelum berpindah kembali ke Atletico Madrid dengan yuran berjumlah £11 juta.
Hari ini, pada usia 31 tahun, Felipe Luis masih menjadi antara tonggak penting Diego Simeone di Atletico Madrid.
2. Baba Rahman (£21.7 juta dari Augsburg, 2015)
Setelah melalui musim yang cemerlang bersama Augsburg di Bundesliga, Baba Rahman telah mencuri perhatian beberapa buah kelab gergasi di Eropah.
Bagaimanapun, pemain daripada Ghana ini memilih untuk ke London untuk menyertai Jose Mourinho dan juga Chelsea.
Mourinho mempunyai rekod untuk tidak terus mempercayai pemain baharu. Malah pengurus dari Portugal itu meneruskan kepercayaan terhadap Cesar Azpilicueta di posisi itu sehinggalah beliau dipecat pada Disember musim tersebut.
Baba Rahman kembali bermain sebagai pilihan apabila Guus Hiddink mengambil alih tugas Mourinho dan tampil sebanyak 11 kali sepanjang musim 2015-2016.
Ketibaan Antonio Conte pada awal musim lalu bukanlah perkhabaran yang indah buat Rahman. Conte segera meminjamkan Rahman ke Schalke sebelum Rahman mengalami kecederaan lutut yang serius dalam aksi Bundesliga.
Secara teknikal, Baba Rahman masih seorang pemain Chelsea. Namun Rahman dijangka akan meninggalkan Stamford Bridge dan Everton adalah antara kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya.
3. Marcos Alonso (£23 juta dari Fiorentina, 2016)
Marcos Alonso adalah pemain yang asing sebelum tiba di England. Pembelian Alonso oleh Chelsea adalah yang paling mengejutkan, namun yang paling berjaya jika 2 pembelian sebelumnya dijadikan perbandingan.
Alonso sebelumnya dilabel sebagai pembelian panik daripada Chelsea, akhirnya berjaya membuktikan pengkritiknya telah membuat penilaian yang salah terhadap dirinya.
Alonso cemerlang bermain dengan formasi 3-4-3 yang diasaskan oleh Conte dan tampil dalam 31 perlawanan EPL pada musim lalu.
Menariknya, Marcos Alonso turut menyumbang 6 jaringan dan 3 bantuan gol untuk Chelsea sepanjang musim.
Kecemerlangan Marcos Alonso bersama Chelsea pada musim lalu membutkan ramai terkejut dengan perancangan Chelsea untuk membawa masuk Alex Sandro.
Bekas pemain Bolton dan Sunderland, juga produk Real Madrid berusia 26 tahun ini pasti kecewa jika kedatangan Alex Sandro menyebabkan beliau diletakkan di bangku pemain simpanan oleh Conte.
4. Alex Sandro (£61 juta dari Juventus, 2017)
Pembelian ini masih belum direalisasikan.
Bagaimanapun kemungkinan Alex Sandro untuk menyarung jersi warna biru Chelsea adalah sangat hampir dengan beberapa butiran sahaja perlu dilengkapkan untuk memastikan Sandro sah sebagai pemain Chelsea.
Di Juventus, Alex Sandro melengkapkan corak permainan menyerang daripada bahagian serangan pasukan itu.
Tatkala Dani Alves sering menjadi perhatian di sebelah kanan, Sandro tetap memberi ancaman dengan kualiti yang sama dari sebelah kiri.
Selain daripada Marcelo di Real Madrid dan juga David Alaba di Bayern Munich, Alex Sandro turut dianggap sebagai antara bek kiri terbaik dunia.
Kehadirannya di Stamford Bridge seolah-olah versi Marcos Alonso yang telah dinaik taraf. Sudah pasti pengikut EPL tertunggu-tunggu akan impak yang akan dibawa oleh Alex Sandro kepada Chelsea pada musim hadapan.
Sumber:
1. Alex Martin, Daily Mail (2017): Chelsea have spent £122m on left backs since Ashley Cole departed in 2014… so what happened to the costly stars who failed to replace him?;
http://www.dailymail.co.uk/sport/football/article-4639882/Chelsea-spent-122m-left-backs-Ashley-Cole.html