Penyerang Southampton, Charlie Austin memuji impak yang dibawa pengurus baharu, Ralph Hasenhuttl selepas berjaya membantu pasukan meraih kemenangan dengan menewaskan Arsenal 3-2, semalam.
Saingan sengit di Stadium St. Mary’s bagaimanapun menyaksikan ‘The Saint’ lebih ampuh untuk meraih kemenangan menerusi tiga jaringan – Danny Ings (20′,44′) dan Charlie Austin (85′). Manakala dua jaringan Arsenal disumbangkan oleh Henrikh Mkhitaryan (28′,53′).
Kejayaan Southampton itu telah berjaya mengakhiri kemarau kemenangan tiga tahun pasukan itu bertemu Arsenal sejak 2015 – selain turut meleburkan rekod tanpa kalah The Gunners pada musim ini.
Pujian buat Hasenhuttl
Menurut Austin, beliau amat kagum melihat bagaimana Hasenhuttl berjaya mengembalikan semula keyakinan dan mentaliti para pemain untuk bangkit selepas era Mark Hughes.
Hughes dipecat sebelum The Saints memilih Hasenhuttl untuk mengambil alih jawatan sebagai pengurus Southampton, selepas keputusan seri 2-2 berdepan Manchester United pada 3 Disember lalu.
“Seorang pengurus baru datang dengan idea-idea baru dan secara tiba-tiba para pemain bangkit dan mula yakin pada diri mereka.”
“Ianya tidak akan terjadi dibawah Mark Hughes, kami tidak memperolehi keputusan yang baik. Tetapi semuanya kini sudah berakhir.
“Pengurus baru masuk, baru melalui dua perlawanan dan kami memperoleh kemenangan.”
Cabaran seterusnya
Southampton kini melonjak satu anak tangga, ke kedudukan ke-17 Liga Perdana Inggeris dan berkongsi 12 mata bersama Burnley.
Keputusan tersebut bagaimanapun belum cukup memuaskan Austin yang mengakui pasukannya bakal berdepan cabaran yang lebih getir selepas ini.
“Kami akan menjalani perlawanan pada Krismas yang sukar. Dua perlawanan berikutnya amat besar bagi kami, satu di sini [West Ham] dan satu lagi di tempat lawan [Huddersfield].
“Kami harus cuba untuk mendapatkan tiga mata penting dari setiap perlawanan.
YEEEESSSS!!!!
Describe this feeling, #SaintsFC fans! 🔥👇 pic.twitter.com/gYGxBxGF3G
— Southampton FC (@SouthamptonFC) December 16, 2018
Ralph Hassenhuttl
Ralph Hassenhuttl adalah pengurus dari Austria yang sebenarnya bukan nama asing di Bundesliga Jerman. Malah pengendali berusia 51 tahun itu disifatkan sebagai individu yang bertanggungjawab atas prestasi cemerlang dan kebangkitan RB Leipzig dalam bola sepak Jerman sejak dua tahun yang lalu.
Memilih untuk menyertai Southampton selepas melepaskan jawatan beliau bersama Leipzig pada Mei lalu – ia adalah satu perkara yang mengujakan untuk melihat bagaimana bekas penyerang antarabangsa Austria ini mengendalikan Southampton dengan idea-idea bola sepak yang beliau miliki.