Chapecoense menentang Palmeiras dalam perlawanan perlawanan pertama mereka selepas tragedi kapal terbang.
Ketika itu mereka sedang dalam perjalanan untuk menentang Atletico Nacional dalam perlawanan akhir pertama Copa Sundamericana.
Ketika dalam perjalanan tersebut, kapal terbang yang dinaiki mereka terhempas dan ia mengorbankan 71 orang.
19 daripadanya adalah pemain skuad Chapecoense dan staf kelab tersebut.
Penuh emosi
Chapecoense menentang Palmeiras dalam aksi persahabatan di stadium mereka iaitu Arena Conda Stadium.
Dalam perlawanan yang disaksikan oleh 20 ribu penonton, perlawanan dimulakan dengan acara memperingati mangsa-mangsa yang terkorban dalam nahas kapal terbang terbabit.
Upacara penyerahan trofi Copa Sundamericana diadakan dengan trofi diserahkan kepada pemain-pemain yang terselamat dalam insiden nahas kapal terbang itu – Neto, Jackson Follman dan Alan Ruschel.
Follman yang merupakan penjaga gol simpanan Chapecoense ketika itu, datang dalam keadaan berkerusi roda selepas kakinya terpaksa dipotong oleh pihak hospital.
Beliau juga dikatakan hadir dari hospital semata-mata untuk menghadiri acara tersebut di stadium. Hal ini kerana beliau masih lagi dalam proses pemulihan di hospital tempat beliau dirawat.
Juga yang menarik perhatian adalah pengulas yang juga mangsa nahas kapal terbang yang terselamat iaitu Raphael Henzel. Beliau merupakan pengulas untuk perlawanan ini.
Bangun dan berdiri semula
Skuad Chapecoense terpaksa dibina semula dengan 22 pemain baharu direkrut secara pinjaman dan juga beberapa pemain dinaikkan ke skuad utama dari skuad remaja Chapcoense.
Mereka juga melantik pengurus baharu iaitu Vagner Mancini.
Dalam perlawanan menentang Palmeiras tersebut, ia dilangsungkan dalam suasana yang cukup indah.
Perlawanan tersebut bukanlah untuk mencari pemenang, sebaliknya hanyalah untuk menghiburkan hati yang luka kerana insiden perit itu serta mencari semula kekuatan yang hilang akibat nahas tersebut.
Dalam perlawanan itu, Chapecoense telah seri 2-2 dengan Palmeiras hasil jaringan Douglas Grolli dan juga Amaral.
Jaringan cantik dari luar kotak Vitinho untuk Palmeiras berjaya menerima tepukan gemuruh dari para penyokong yang hadir ke stadium pada perlawanan tersebut.
Pada minit ke-71 perlawanan, permainan diberhentikan untuk semua orang termasuk pemain, barisan kejurulatihan serta penyokong yang hadiri menepuk tangan selama seminit untuk memberikan penghormatan kepada mangsa-mangsa yang terkorban.
Baca juga: Analisis Taktikal MSL 2017: Trio VAD Yang Dinamik ‘Membunuh’ Pulau Pinang