Chapecoense AF: Kebangkitan Dari ‘Perkuburan’, Kini Kejar Impian Copa Libertadores

Ingatkah anda akan nahas kapal terbang yang mengorbankan hampir kesemua pemain pasukan Associação Chapecoense de Futebol pada 28 November 2016?

Jika tempoh seminggu dianggap lama untuk seorang ahli politik untuk memenangi satu pilihan raya yang pasti dimenangi, setahun adalah tempoh penantian dalam skop yang sama dalam dunia bola sepak.

Jika anda tidak percaya, tanyalah kepada Chapecoense. Tiada ayat dan perkataan yang mampu mendefinisikan pembinaan sebuah semangat yang runtuh pada ketika itu.

Lenyapnya Sebuah Kisah Dongeng Yang Hebat

Setahun yang lalu, kelab kerdil ini disamakan oleh pemerhati bola sepak dunia sebagai “Leicester Brazil”.

Ia berkaitan dengan pencapaian luar biasa sebuah pasukan yang tidak diberi peluang pada awal musim, namun mengakhirnya dengan menjulang kejuaraan di England.

(Photo credit should read RAUL ARBOLEDA/AFP/Getty Images)

Chapecoense adalah sebuah pasukan kerdil. Mereka sedang dalam perjalanan menuju ke perlawanan akhir utama pertama mereka dalam sejarah kelab berkenaan.

Perlu diingatkan. Chapecoense hanya berada di liga utama Serie A Brazil hanya untuk musim ketiga pada 2016.

Ketika itulah tragedi melanda.

(Photo credit should read DOUGLAS MAGNO/AFP/Getty Images)

Penerbangan yang membawa skuad Chapecoense terhempas di Colombia menyebabkan 71 kematian, termasuk 19 pemain dari kelab berkenaan.

Satu lagi kisah dongeng kelihatan seperti akan lenyap begitu sahaja seperti abu.

Lembaran Baru

7 bulan selepas tragedi yang menimpa pasukan berkenaan, sebaliknya yang berlaku. Chapecoense kini sedang menulis lembaran baru dalam kitab sejarah kelab berkenaan.

Mereka telah memenangi liga tempatan peringkat negeri pada Mei yang lalu dan kini sedang beraksi di Serie A, Brazil.

Photo by Cristiano Andujar/Getty Images)

Selepas 4 perlawanan, mereka berada di puncak liga menafikan gergasi Brazil yang lain seperti Gremio, Corinthians, Vasco Da Gama dan juga Santos.

Hari ini selepas genap seyahun, Chapecoense telah mengharungi 37 perlawanan dan menduduki tangga ke-9. Kedudukan ini masih dianggap sebagai satu pencapaian untuk sebuah kelab yang hampir musnah pada setahun yang lalu.

(Photo by Daniel Garzon/Anadolu Agency/Getty Images)

Hari ini juga menyaksikan Chapecoense berada pada posisi terbaik untuk melayakkan diri ke saingan Copa Sudamericana untuk saingan pada musim hadapan.

Malah kemenangan 1-0 ke atas Bahia pada Ahad lalu, bermakna Chapecoense telah merekodkan 9 kemenangan berturut-turut untuk menghidupkan peluang merebut slot untuk ke pertandingan Copa Libertadores.

Untuk itu, Chapecoense harus mengharapkan Flamengo tewas kapada Bahia, sambil mengharapkan Vasco Da Gama dan Botafogo RJ keciciran mata sebelum mereka sendiri tampil mencatat kemenangan ke atas Coritiba.

(Photo by Alexandre Loureiro/Getty Images)

Tahun lalu Chapecoense berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Copa Sudamericana, yang akhirnya dimenangi oleh mereka dengan tragedi yang menyayat hati.

Berada di kedudukan ke-9 atau mungkin lebih baik selepas Serie A Brazil melabuhkan tirai pada 4 Disember akan datang, bermakna Chapecoense sudah terselamat dari penyingkiran untuk saingan pada musim hadapan.

Namun demikian, untuk kekal kompetitif di saingan Serie A Brazil tatkala segalanya tampak punah pada penghujung tahun lalu, adalah satu pencapaian yang menakjubkan.

Pembinaan Semula

Proses membina kembali Chapecoense jelas dipermudahkan. Malah ia jauh lebih mudah daripada jangkaan semua pihak.

Timbul persoalan bagaimana kelab ini mampu bangkit kembali selepas tragedi yang memusnahkan hampir keseluruhan anggota kelab berkenaan.

(Photo by Helio Suenaga/LatinContent/Getty Images)

Ketenangan pihak pengurusan dalam mencari idea dan kaedah dalam membina teori yang benar-benar boleh menjadi nadi kebangkitan adalah satu pekerjaan di belakang takbir yang sungguh luar biasa.

Semuanya bermula dengan langkah pertama. Perlantikan Vagner Mancini (gambar atas) sebagai pengurus baharu pada Disember 2016. Seterusnya, Chapecoense perlu membina kembali skuad yang telah musnah sepenuhnya.

Pasukan ini dibina kembali dengan kos yang sangat murah dan minima.

Ia bermula dengan pembelian pemain secara percuma (free trasfer), mendapatkan pemain secara pinjaman dan sudah tentu menaikkan pemain dari gedung akademi ke skuad utama.

(Photo by Cristiano Andujar/Getty Images)

Walaupun kerdil, kelab ini memiliki struktur yang kukuh dengan adanya akademi milik mereka sendiri. Satu aspek yang boleh dipelajari oleh pasukan kita di Liga Malaysia.

Ini adalah supaya pasukan yang bertanding  tidak bergantung kepada pembelian pemain dari luar semata-mata untuk membina pasukan yang mampu bersaing.

Hakikatnya ialah Chapecoense adalah sebuah pasukan yang berani untuk bangkit.

Secara keseluruhan, kelab ini telah menggunakan seramai 43 pemain sepanjang musim 2017 . Namun semangat perjuangan barisan lama tetap kekal utuh bersama mereka.

Bintang Baru Yang Jujur Dan Sederhana

Pemain yang menyertai Chapecoense merupakan nama yang tidak dikenali. Luiz Antonio adalah bekas pemain Brazil Bawah 20 yang kariernya mulai pudar, namun kini adalah jeneral di bahagian tengah pasukan.

Jandrei Chitolina Carniel adalah seorang penganggur pada tahun lalu. Hari ini Jandrei adalah penjaga gol Chapecoense yang menyinar.

(Photo credit should read NELSON ALMEIDA/AFP/Getty

Penjaring terbanyak dan juga kapten pasukan adalah Wellington Paulista. Mungkin ada di kalangan anda yang biasa mendengar nama ini.

Paulista adalah bekas pemain West Ham pada 2013, namun gagal untuk menyinar di Liga Perdana Inggeris (EPL). Malah Paulista sendiri mengakui beliau terpaksa bekerja keras untuk membantu Chapecoense.

Chapecoense tidak mempuyai pemain bintang dalam barisan skuad mereka. Ini juga bermakna tiada ego.

Setiap pemain bermain dengan tujuan yang sama. Setiap pemain bermain untuk rakan pasukan yang lain, untuk Chapecoense.

(Photo by Buda Mendes/Getty Images)

Mancini pernah dipetik sebagai berkata:

“Pasukan lain mempunyai kuasa kewangan yang kukuh. Malah mereka memiliki lebih ramai pemain yang berkebolehan.”

“Namun saya memiliki ramai pemimpin di dalam bilik persalinan pasukan ini. Kami membina pasukan ini kembali perlahan-lahan dengan kejujuran dan sifat kesederhanaan.”

Skuad Baru, Semangat lama

Chapecoense turut diperkuatkan dengan dua pemain yang tidak menaiki pesawat malang berkenaan, Moises dan juga Nenem.

Satu lagi nama yang masih dirahsiakan kelab berkenaan dilaporkan akan kembali selepas membawa diri beraksi di luar Brazil sejurus selepas tragedi tersebut.

(Photo by Jean Carlos Ramos/LatinContent/Getty Images)

Ketiga-tiga pemain ini pasti akan bertindak sebagai pengingat kepada rakan sepasukan yang lain. Bahawasanya kejayaan itu tidak mustahil untuk sesiapa sahaja yang mempercayainya.

Jika anda berkunjung ke Arena Conda, anda akan dapat menyaksikan sendiri bagaimana penyokong kelab berkenaan memberi penghormatan kepada mereka yang terkorban dalam setiap perlawanan di tempat sendiri.

Sebagai tanda penghormatan, semua yang hadir di Arena Conda akan mulai bersorak, menyanyi dan menyalakan lampu sebagai peringatan kepada 71 nyawa yang terkorban dalam nahas berkenaan.

(Photo by Buda Mendes/Getty Images)

Sejujurnya, tidak semua perkara tampak mudah untuk Chapecoense sepanjang saingan pada musim ini.

Mereka telah dipotong mata kerana menurunkan pemain yang digantung perlawanan, disingkirkan dari saingan Copa Libertadores dan menyaksikan pergaduhan di antara pemain ketika bertemu Cruzeiro dalam saingan Piala Brazil.

Rumusan

Chapecoense mungkin bukan juara Serie A Brazil pada musim ini. Tetapi kedudukan liga mereka pada hari ini menceritakan kisah kejayaan dengan cara mereka yang tersendiri.

Ia adalah kejayaan mengenai sebuah kebangkitan. Ia adalah kejayaan sebuah pasukan berhati kental dan melawan demi satu sama lain. Seperti mana anda bangkit mempertahankan ahli keluarga anda, demikianlah setiap pemain, penyokong, jurulatih dan pengurusan di Chapecoense bangkit melawan sebagai sebuah unit.

Hakikatnya lawan mereka lebih besar daripada Corinthians, Palmeiras atau pun Gremio yang mendominasi bola sepak Brazil. Lawan mereka ialah tragedi, kisah menyayat hati, dan moral profesional yang diambil pergi oleh nahas yang berlaku setahun yang lalu.

Chapecoense pada hari ini menunjukkan mereka telah berjaya mengharungi perlawanan itu. Ingatan, kedukaan, keperitan, dan kepahitan mungkin akan kekal selamanya. Namun Chapecoense telah melakukan dengan baik sekali, untuk menyatakan kepada dunia bahawa mereka akan terus melawan. VamosChape!

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN