Walaupun menerima tawaran daripada kelab yang beraksi di Liga Thailand dan Liga Portugal, penyerang muda Kemboja, Chan Vathanaka akhirnya memilih untuk bersama Pahang pada musim 2018.
Ianya didorong oleh faktor untuk mendapatkan penampilan berbanding hanya memanaskan bangku simpanan kelab yang disertainya. Vathanaka sebelum ini beraksi secara pinjaman bersama kelab Jepun, Fujieda MYFC.
Di Fujieda MYFC, Vathanaka boleh dikatakan menghabiskan hampir 10 bulan hanya dengan memanaskan bangku simpanan. Dia hanya dapat turun beraksi dalam dua perlawanan sahaja.
Pada usia 23 tahun, Vathanaka telah mendapat hampir 40 penampilan bersama skuad kebangsaan Kemboja, sesuatu yang mungkin tidak akan didapati oleh pemain-pemain muda negara.
“Selepas pulang daripada Jepun, saya telah berbincang dengan ejen saya mengenai masa depan saya. Saya masih mahu beraksi di luar Kemboja, tetapi saya perlu memilih kelab yang akan menggunakan saya lebih kerap,” jelas Vathanaka kepada New Straits Times.
“Apabila mendapat tawaran dari Pahang, saya sedar ini adalah peluang keemasan buat saya untuk beraksi dan memperbaiki segala aspek,” ujar pemain yang pernah dinobatkan selaku penjaring terbanyak dua tahun berturut-turut di Liga Kemboja pada 2015 dan 2016.
“Saya sangat teruja. Saya yakin aksi saya di sini akan membantu meningkatkan permainan saya,” ujarnya lagi sambil mengharapkan segalanya akan berjalan lancar buatnya di Pahang.
Sebelum tiba di Pahang, Vathanaka telah beraksi bersama kelab asalnya, Boeung Ket Angkor, sejurus pulang daripada Jepun untuk aksi kejohanan Toyota Mekong Club Championship (TMCC).
Barangkali kesan daripada kekurangan aksi ketika di Fujieda MYFC, Vathanaka gagal membantu kelabnya untuk menewaskan kelab Vietnam, Sanna Khanh Hoa, apabila kecundang dengan keputusan 1-5, Rabu lalu.
Oleh itu, walaupun Vathanaka terbukti memiliki sentuhan penyudah yang hebat, perkara pertama yang perlu dilakukan oleh Pahang adalah untuk mengembalikan keyakinan dan sentuhan penyerang muda ini.
Fujieda MYFC menyatakan kegagalan Vathanaka menembusi skuad utama kelab adalah disebabkan tahap kecergasan dan staminanya yang teruk. Namun, bagi Vathanaka, pengalaman di Jepun telah banyak membantunya.
“Walaupun saya jarang beraksi ketika di Fujieda, saya mendapat banyak pengalaman di sana. Komunikasi adalah isu yang sangat besar, tetapi saya menganggapnya sebagai satu cabaran,” ujar Vathanaka.