Maghribi bakal mempunyai tonik yang baik untuk dibekalkan ke Rusia pada musim panas nanti. Mereka mengukir nama sebagai pemenang terbaru African Nations Championship.
Tambah manis, mereka menewaskan Nigeria 4-0 pada final di hadapan penyokong sendiri. Mereka turun ke kejohanan ini sebagai pasukan pilihan.
Sudah tentu tekanan menjadi cabaran buat pasukan tuan rumah.
Nigeria dibenam
Maghribi memperoleh gol pembukaan beberapa minit sebelum rehat separuh masa. Gol tuan rumah dijaringkan oleh Zakaria Hadraf.
Kemudiannya, Walid el Karti menjaringkan gol kedua Maghribi pada minit ke-61. Berselang 3 minit kemudian, Zakaria Hadraf menambah jaringan untuk Maghribi.
Ayoub el Kaabi tidak ketinggalan menyumbangkan satu gol untuk Maghribi. Gol tersebut dijaringkan pada minit ke-73.
Tambah manis, gol itu menjadikan beliau penjaring terbanyak kejohanan. 9 gol telah disumbat beliau sepanjang kejohanan ini termasuk gol pada perlawanan akhir.
Nigeria terpaksa menelan kepahitan kerana tidak dapat menjaringkan satu gol dalam perlawanan akhir ini.
Tumpuan
Jurulatih Maghribi, Hervé Renard sudah pasti mempunyai kumpulan pemain cukup ramai untuk Piala Dunia nanti. Rasanya beliau boleh bersedia untuk memilih sesiapa akan ke kejohanan tersebut.
Meskipun tewas, Nigeria masih mempunyai ruang untuk dibaiki dalam Piala Dunia nanti. Maghribi dan Nigeria hanya negara yang layak ke Piala Dunia tetapi beraksi dalam CHAN edisi kali ini. Mesir pada asalnya turut menyertai kejohanan ini tetapi terpaksa menarik diri.
Kejayaan Maghribi ini meletakkan nama mereka sebagai pemenang CHAN setelah 5 kali dianjurkan. Republik Demokratik Congo menjadi pemenang terbanyak sebanyak 2 kali pada 2009 dan 2014.
Tunisia dan Libya pernah memenangi kejohanan ini, masing-masing pada 2011 dan 2014. Ethiopia bakal dipertimbangkan CAF untuk menjadi hos edisi 2020.