Melihat Newcastle United di dasar liga dengan 3 mata, membuatkan kami terkenang Newcastle United yang dahulu.
Kami masih ingat pada 17 September 1997, Newcastle United pernah menewaskan Barcelona 3-2 di St. James Park.
Ketika itu Newcastle United diurus oleh Kenny Dalglish. Penyerang Colombia, Faustino Asprilla, menjaringkan hatrik.
Barcelona pula diurus oleh Louis van Gaal. 2 gol mereka dijaringkan oleh Luis Enrique dan kapten, Luis Figo.
Mengenangkan nasib Newcastle sekarang, kami tertanya-tanya apa cerita terbaru pemain kesebelasan utama mereka pada malam September 1997 itu.
Di mana mereka sekarang?
Penjaga gol – Shay Given
Shay Given sentiasa mendapat tempat di hati Kenny Dalglish.
Ketika Given bergelut untuk mencipta nama di Celtic sebagai penjaga gol muda, Dalglish membawanya ke Blackburn Rovers.
Apabila Dalglish mendapat kerja baru di Newcastle United, beliau menjadikan Given sebagai pemain pertama yang dibelinya.
Di St. James Park, Given merupakan penjaga gol utama Newcastle United selama 12 tahun.
Kini Shay Given merupakan penjaga gol Stoke City, berkhidmat sebagai back-up untuk Jack Butland.
Bek kanan – Warren Barton
Satu perkara yang selalu kami dengar tentang Warren Barton ketika zaman 90-an dulu adalah, Barton adalah pemain mempopularkan stereotaip ‘fullback adalah sayap yang gagal’.
Meskipun berketinggian 6 kaki, Barton adalah bek kanan yang laju dan boleh membuat hantaran lintang dengan tepat.
Tetapi beliau agak lemah dalam aspek pertahanan.
Kini Barton tinggal di San Diego, California. Beliau bekerja sebagai pundit tetap untuk FOX Sports USA.
Bek kiri – John Beresford
Seperti Barton di posisi bek kanan, Beresford juga seorang fullback yang gemar menyerang.
Semuanya gara-gara falsafah bola sepak ‘you-scored-three, we’ll-score-four‘ Kevin Keegan. Keegan memang suka menyerang.
Beresford merupakan anggota tetap skuad Newcastle Kevin Keegan yang digelar The Entertainers.
John Beresford kerap muncul di media Tyne-Wear dan mengurus acara kebajikan untuk Newcastle United. Menurut akaun Twitternya, beliau juga ‘kadang-kala bermain golf‘.
Pertahanan tengah – Philippe Albert
Ketika bermain untuk Kevin Keegan, Philippe Albert terkenal sebagai pertahanan tengah yang selalu naik menyerang sehingga ke kotak penalti pasukan lawan.
Siapa boleh lupa ketika Albert melambungkan bola melepasi Peter Schmeichel dengan kakinya pada jarak 20 ela ketika kemenangan 5-0 ke atas Manchester United?
Sejak bersara, Albert kini bekerja di pasar buah-buahan dan sayuran milik kawannya. Kadangkala beliau bekerja sebagai pundit untuk TV di Belgium.
Ketika ini, sekumpulan penyokong Newcastle sedang menyiapkan dokumentari ‘Looking for No.5’ yang mengisahkan tentang kehidupan Albert.
Pertahanan tengah – Steve Watson
Jika ada satu perkataan yang penyokong Newcastle kaitkan dengan Steve Watson, ia adalah versatil.
Ketika zamannya sebagai pemain, beliau pernah bermain di bek kanan, tengah, sayap kanan malah penyerang juga.
Sebagai pengasas, Watson kini menguruskan syarikat Pro Sport Apps, syarikat apps yang memudahkan jurulatih menerangkan taktik pasukan kepada pemain.
Pemain tengah – Rob Lee
Di bawah kendalian Kenny Dalglish, Rob Lee dilantik menjadi kapten Newcastle. Termasuklah pada malam bersejarah Newcastle mengalahkan Barcelona.
Seorang pemain tengah kreatif, Lee juga adalah enjin pasukan dan kerap membantu David Batty bertahan apabila Newcastle hilang penguasaan bola.
Lee kini bekerja sebagai pundit di Singapore’s Football Channel dan pengulas perlawanan untuk channel Ten Sports ketika perlawanan UEFA Champions League.
Pemain tengah – David Batty
Ketika rakan-rakan sepasukannya (termasuklah pemain pertahanan) naik menyerang, David Batty lah pemain yang memberikan Newcastle keseimbangan dengan melakukan bentesan di tengah dan melindungi jentera pertahanan.
Batty bukan saja boleh merampas bola, beliau juga cemerlang membuat hantaran jauh selepas merampas bola. Ini membuatkan Newcastle pasukan yang bahaya dalam serangan balas.
Kini Batty kerap muncul dalam perlawanan bola sepak kebajikan. Antaranya ‘The Match’ – perlawanan antara bekas pemain dengan selebriti Uk di St. James Park.
Sayap kanan – Keith Gillespie
Keith Gillespie merupakan salah seorang graduan kelas 92 skuad muda Manchester United bersama Ryan Giggs, Paul Scholes, David Beckham, Gary Neville, Nicky Butt dan Robbie Savage.
Ketika itu, Gillespie dianggap media sebagai George Best baru.
Ketika kemenangan 3-2 Newcastle ke atas Barcelona, Gillespie membekalkan 2 hantaran lintang cantik untuk Faustino Asprilla.
Pada 2013, Gillespie menerbitkan autobiografinya ‘How Not To Be A Football Millionaire’ yang menceritakan bagaimana beliau hilang £7 juta kerana ketagihan berjudi dan kejahilan berniaga.
Sayap kiri – John Barnes
Ketika John Barnes bermain untuk Newcastle United, beliau sudah pun berumur 34 tahun.
Dalam autobiografi Stuart Pearce ‘Psycho’, Pearce mendedahkan berat badan Barnes sudah pun berlebihan ketika menyertai Newcastle.
Pearce turut menuduh Barnes dan Ian Rush tidak menunjukkan motivasi tinggi ketika di Newcastle United, kerana mereka sudah menang banyak trofi.
Ketika kemenangan 3-2 Newcastle ke atas Barcelona, Barnes digantikan oleh Temur Ketsbaia pada minit 81′.
Kini Barnes merupakan pundit ITV. Beliau juga mengacarakan rancangan mingguan, The John Barnes Show di LFC TV pada setiap Khamis.
Penyerang – Jon Dahl Tomasson
Pada mulanya Jon Dahl Tomasson dibawa masuk ke Newcastle untuk menjadi penghubung jentera tengah dengan penyerang, Alan Shearer.
Tetapi kecederaan panjang Shearer dan pemergian Les Ferdinand ke Tottenham Hotspurs memaksa Tomasson bermain sebagai penyerang.
Dan beliau gagal kerana tidak dapat menyesuaikan diri dengan gaya permainan England yang fizikal.
Tomasson kini bekerja sebagai pembantu pengurus di kelab Belanda, Vitesse.
Penyerang – Faustino Asprilla
Ketika Alan Shearer ditimpa kecederaan panjang dan Les Ferdinand dijual ke Tottenham Hotspurs, Faustino Asprilla dipilih oleh Dalglish untuk menjadi penyerang utama Newcastle.
Penyokong Newcastle tidak meragui bakatnya.
Mempunyai skil yang tinggi, kreatif, sukar dijatuhkan, laju dan cenderung menjaringkan gol-gol cantik, Asprilla bagaimanapun kerap membuat hal di luar padang.
Sudahlah tak konsisten di atas padang, Asprilla juga gemar melanggan pelacur dan senjata api.
Tetapi jika kena pada harinya, Asprilla boleh menjadi penyerang yang berbahaya. Seperti yang dibuktikannya ketika menjaringkan 3 gol ketika menumbangkan Barcelona.
Pada September 2014, Asprilla melancarkan perniagaannya sendiri di Colombia. Syarikatnya menjual kondom berperisa buah-buahan.
Baca juga: 5 Sebab Mengapa Prestasi Chelsea Teruk Ketika Ini