PDRM kini boleh dianggap sebagai salah satu pasukan pilihan utama untuk mengiringi Kuching City ke pentas akhir bagi saingan MFL Challenge Cup musim 2023 menerusi momentum semasa dipamerkan mereka.
Pasukan tersebut bakal berdepan cabaran Penang hari ini bagi saingan separuh akhir kedua, selepas PDRM sebelum itu merekodkan kemenangan tipis 2-1 bagi pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Bandaraya.
Dua gol PDRM sebelum itu berjaya dilakar oleh Kapten mereka iaitu Amir Saiful serta Fakhrul Azim dan satu jaringan tunggal Penang pula diledak oleh pemain tengah import, Adriano.
Momentum semasa PDRM kini boleh dianggap dalam prestasi cukup memberansangkan selepas mereka masih belum mencatat sebarang kekalahan sejak empat perlawanan lalu.
Malah, aksi terakhir sebelum ini ketika berdepan Kuala Lumpur City (KL City) juga dianggap cukup mengujakan setelah mereka menewaskan pasukan lawan dengan keputusan 2-0.
Berbanding Penang, pasukan tersebut hanya merekodkan satu kemenangan sahaja daripada empat perlawanan dilalui iaitu ketika mereka menewaskan wakil Liga M3 di suku akhir Challenge Cup, Harini FT pada 6 Oktober lalu.
Aksi terakhir mereka ketika berdepan Kuching City juga dianggap tidak memberansangkan selepas masing-masing hanya terikat seri tanpa sebarang jaringan terhasil.
Prestasi semasa Penang kini antara yang mendapat perhatian ramai, selepas pasukan tersebut gagal untuk menemui konsistensi dalam setiap perlawanan dilalui.
Malah, pasukan tersebut juga boleh dianggap sangat lemah daripada segi disiplin pertahanan mereka dan dibuktikan ketika aksi separuh akhir pertama Challenge Cup lalu sewaktu berdepan PDRM.
Beraksi di laman sendiri, PDRM boleh dianggap sebagai salah satu pasukan pilihan utama kini untuk mara ke pentas akhir dan prestasi para pemain mereka juga berada dalam keadaan terbaik.
Aksi penjaga gol utama PDRM iaitu Ramdhan Hamid antara bakal menjadi tumpuan utama bagi perlawanan ini selepas beliau mempamerkan ketangkasan cukup baik sewaktu berdepan KL City.
Tidak dilupakan juga kelibat penyerang import mereka musim ini iaitu Bruno Suzuki yang dijangka akan terus memberi masalah buat pertahanan lawan menerusi kelincahan serta kreativiti dimilikinya untuk mencipta peluang.
Apapun, Penang masih lagi memiliki peluang untuk memenangi perlawanan hari ini jika mereka mampu menampilkan corak permainan lebih tersusun serta memanfaatkan peluang sebaik mungkin di hadapan jaringan.