Quantcast

BERITA

Cesc Fabregas Puji Frank Lampard Jalankan Tugasan Dengan Sangat Baik Bersama Derby County

Cesc Fabregas tetap mengganggap legenda hidup Chelsea, Frank Lampard telah menjalankan tugasannya sebagai pengurus Derby County dengan sangat baik meskipun gagal membawa kelab tersebut kembali ke Liga Perdana Inggeris 2019/20.

Lampard kecewa selepas pasukan bimbingannya tewas 1-2 ditangan Aston Villa pada perlawanan akhir play-off EFL Championship di Wembley, penghujung Mei lalu.

Seperti diketahui umum, Lampard bukan sahaja gagal membawa Derby County ke EPL malah beliau turut dikecewakan oleh sahabat baiknya, John Terry yang ketika ini merupakan penolong pengurus Aston Villa.

Di sebalik kegagalan itu, Fabregas bagaimanapun merasakan bahawa Lampard telah melakukan yang terbaik pada penampilan sulungnya selaku pengurus di Derby County.

”Saya merasakan dia telah melakukan tugasan yang sangat mengagumkan. Ini adalah tugasan pertamanya. Dia telah mengubah banyak perkara.”

Lampard

LONDON – MAY 06: Frank Lampard of Chelsea (L) is watched by Francesc Fabregas of Arsenal during the Barclays Premiership match between Arsenal and Chelsea at the Emirates Stadium on May 6, 2007 in London, England. (Photo by Mike Hewitt/Getty Images)

”Dia memiliki skuad yang sangat sukar, sebuah pasukan dipenuhi pemain berusia yang berada pada akhir kontrak mereka.”

”Dia (Frank Lampard) telah memperbaharui pasukannya, dengan membawa masuk pemain muda.”

”Dia mengamalkan permainan sangat agresif, corak permainan menyerang. Sesungguhnya untuk tugasan yang pertama ini, saya merasakan dia telah melakukan dengan sangat baik.”

Kedua-dua mereka yang beraksi di posisi tengah ini tidak pernah beraksi bersama ketika di Chelsea setelah Frank Lampard meninggalkan The Blues pada 3 Jun 2014 bagi menamatkan 13 tahun beliau bersama pasukan.

Cesc Fabregas pula menyertai Chelsea kurang 10 hari kemudian dengan mengikat kontrak selama lima tahun.

Beliau kemudiannya berhijrah ke AS Monaco pada perpindahan musim sejuk lalu selepas kurang mendapat perhatian Maurizio Sarri.