Quantcast

BERITA

Cesar Azpilicueta Tampil Pertahan Mount & Abraham, Mahu Chelsea Pamer Peningkatan

Ketua pasukan Chelsea, Cesar Azpilicueta tampil mempertahankan Mason Mount dan Tammy Abraham yang dikritik Jose Mourinho selepas diturunkan pada aksi sulung Liga Perdana Inggeris 2019/20 menentang Manchester United.

Bekas pengendali Chelsea itu mempersoalkan tindakan pengurus pasukan, Frank Lampard yang membariskan duo pemain muda tersebut yang menyaksikan The Blues kecundang 0-4 di Old Trafford.

Azpilicueta, 29 tahun, bagaimanapun menegaskan bahawa Mount dan Abraham sememangnya layak untuk membarisi skuad Chelsea.

”Mereka berada di sini kerana mereka memang layak untuk bersama pasukan. Mereka bersaing dengan hebat pada setiap sesi latihan. Kami mempercayai mereka.”

”Semua pemain, mereka telah berlatih bagi bermain untuk skuad utama Chelsea sejak dari remaja dan kini mereka mempunyai peluang cukup baik untuk mewujudkan kumpulan yang hebat, untuk belajar daripada setiap perlawanan.”

Mason Mount (tengah) bersama rakan sepasukan ketika sesi latihan Chelsea.

”Sudah tentu semua orang mahu bermula dengan cara yang baik tetapi kami perlu untuk berhadapan dengan realiti dan menjadi lebih kuat daripadanya.”

”Kami tahu bahawa Chelsea sentiasa berjuang untuk segala-galanya. Apabila anda tidak memenangi perlawanan, soalan di sekeliling anda semakin banyak tetapi anda perlu mengatasinya.”

Dalam pada itu, Azpilicueta juga mahu melupakan kekalahan bertemu Manchester United dan mengharap kebangkitan dapat ditunjukkan para pemain Chelsea.

”Kami tahu yang kami mampu untuk meningkat. Kami perlu menghadapinya, mengambil tanggungjawab dan memandang ke hadapan.”

”Kami mempunyai trofi untuk diburu pada Rabu ini menentang sebuah pasukan yang bagus dan kami telah bersedia untuknya,” ujar Azpilicueta lagi.

Chelsea mahu segera bangkit daripada episod duka di Old Trafford tempoh hari tetapi lawan yang dihadapi juga bukan calang-calang pasukan apabila mereka bakal membuat perhitungan menentang Liverpool pada aksi Piala Super Eropah di Vodafone Park, Besiktas.

Kredit foto: Chelsea Football Club