Cerita 7 Jurulatih Yang Menemui Bakat 7 Pemain Bertaraf Dunia (Bahagian 1)

1. Bob Pendleton – peninjau bakat Everton yang mengesan Wayne Rooney yang baru berusia 8 tahun



Jika anda adalah seorang peninjau bakat, anda pasti berharap dapat jumpa pemain yang akan bermain dalam pasukan senior satu hari nanti. Tetapi apa yang Wayne Rooney capai melebihi impian peninjau bakat seperti saya.

Saya masih ingat dengan jelas kali pertama saya jumpa Wayne. Tempatnya di Long Lane, padang nombor 2, dan Wayne berumur 8 tahun. Ketika Liga Junior Walton and Kirkdale sedang berlangsung. Saya sudah terlibat menjadi urusetia di liga ini sejak 1977.

Pada hari itu, saya perlu bercakap dengan pengurus Copplehouse Juniors kerana mereka masih belum membayar yuran £4.50 dengan urusetia liga.

Ketika saya hendak bercakap dengan pengurus pasukan mereka, Big Nev, saya ternampak seorang penyerang kecil yang cuba melakukan sesuatu yang berbeza setiap kali dia mendapat bola. Bila dia memegang bola, bola itu melekat di kakinya. Bila dia membuat hantaran, dia mahukan bola itu kembali.

Dia baru berumur 8 tahun, dan pemain lain semuanya berumur 10 tahun. Tetapi dia banyak menjaringkan gol. Wayne mengubah nasib Copplehouse Juniors di liga. Big Nev pula tak mahu kehilangan Wayne, walaupun kepada Everton.

Nasib baik ibu-bapa Wayne turut menyaksikan perlawanan. Jadi saya pergi ke mereka dan mengajak mereka membawa Wayne ke Bellefield, padang latihan Everton. Dan nasib baik juga bagi saya, ayah Wayne dan ibunya, Jeanette adalah penyokong tegar Everton. Jadi mereka terus bersetuju.

Sebelum ibu bapa Wayne sampai di Bellefield, saya pergi berjumpa pengarah akademi remaja Everton, Ray Hill, dahulu. Saya minta Ray untuk terus menandatangani Wayne. Ia adalah permintaan yang janggal memandangkan Ray belum pernah melihat Wayne bermain. Tetapi Ray tetap mempercayai penilaian saya.

Apabila ibu bapa Wayne sampai, Ray menyambut mereka dengan baik. Mereka berbincang di pejabat Ray dan saya masih ingat bapa Wayne menyuruhnya duduk elok-elok dan berkelakuan baik.

Semasa mereka berbincang, saya perasan Ray membiarkan pintu pejabatnya terbuka. Saya tahu ada sesuatu yang Ray rancang. Kemudian Joe Royle, pengurus Everton dan hero bapa Rooney, masuk ke pejabat Ray.

Joe sangat peramah. Beliau bersembang dengan Wayne dan bercerita tentang Toxteth (kawasan di bandar Liverpool) sedangkan Rooney memberitahu dia berasal dari Croxteth. Joe tersalah dengar.

Kemudian kami menandatangani Rooney.

Anda boleh tahu ada sesuatu yang istimewa pada Wayne dengan pantas. Jurulatih bercakap mengenainya. Pengadil menelefon saya selepas perlawanan untuk bersembang tentang apa yang mereka baru lihat pada Wayne. Malah pemain senior Everton turut terkejut dengan kualiti Wayne.

Saya rasa bapa Wayne sentiasa percaya anaknya mampu menjadi pemain profesional. Kalau bapa pemain lain akan menjerit-jerit kepada anak mereka, bapa Wayne tidak. Saya selalu bersembang dan bergelak-tawa dengan bapa Wayne sebelum perlawanan bermula. Tetapi selepas perlawanan bermula, bapa Wayne akan fokus kepada persembahan Wayne.

2. Abraham Garcia – jurulatih akademi Atletico Madrid yang melatih Fernando Torres yang berusia 15 tahun



Saya masih ingat kali pertama saya melihat beliau. Saya terkejut kerana walaupun baru berusia 15 tahun, dia sudah pun mempunyai fizikal yang bagus. Fernando adalah atlet yang bagus, tinggi, kuat dan laju.

Beliau nampak seperti pemain moden. Dalam bola sepak moden, anda perlukan kelajuan dan kekuatan. Fernando mempunyai kualiti ini dari umur 15 tahun lagi.

Bakat adalah anugerah semulajadi seperti yang dikurniakan kepada Fernando tetapi ada juga pemain berbakat yang tak mampu menjadi pemain profesional. Untuk menjadi pemain pro, kelakuan dan mentaliti mereka perlu diperbetulkan.

Sebagai jurulatih, tugas kami adalah memastikan pemain muda sedar kelakuan dan mentaliti yang baik perlu dijadikan keutamaan untuk menjadi pemain profesional. Ada bakat sahaja tak mencukupi. Fernando sedar perkara ini dari awal lagi. Dia tak pernah cepat berpuas hati dan terus mencabar diri sendiri. Dia mendengar, belajar dan terus berlatih. Malah sehingga sekarang!

Dia gak pendiam dan pemalu tetapi mempunyai cita-cita yang tinggi. Bukan satu masalah baginya untuk bersaing dengan pemain yang lebih tua.

Fernando tidaklah berskil sangat tetapi dalam bola sepak, skil bukan segala-galanya. Semasa saya melatihnya, kami fokus kepada latihan memperbaiki kawalan dan penyudah kaki kirinya. Tetapi saya juga mengajar dia cara menggunakan teknik ‘outside of the boot’ untuk memanipulasi kekuatan kaki kanannya dalam situasi yang memaksa beliau menggunakan kaki kirinya.

Apa yang Fernando capai di Liverpool sangat mengagumkan. Jika di Sepanyol dia diajar untuk turun untuk mengutip bola, di England beliau mampu menggunakan kekuatan fizikalnya untuk mendapatkan bola tanpa perlu turun. Fernando boleh melakukan kedua-duanya tanpa masalah.

3. Guillermo Hoyos – jurulatih La Masia pertama dari Argentina yang melatih Lionel Messi



Kali pertama saya jumpa Messi, kami (skuad La Masia) dalam perjalanan ke Jepun untuk menyertai satu kejohanan. Saya baru saja menyertai Barcelona sebagai jurulatih akademi dan kami bertemu buat kali pertama di lapangan terbang.

Perlawanan pertama kami adalah menentang Feyenoord dan kami ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama. Pada separuh masa kedua, Messi mengambil alih perlawanan dan memikul seluruh pasukan di bahunya. Kami menang 3-1. Beliau tidak menjaringkan gol tetapi memimpin pasukan secara berseorangan.

Kami rapat sejak dari mula. Ketika itu, saya adalah satu-satunya orang bukan Sepanyol yang bekerja di La Masia. Saya rasa disebabkan kami berasal dari negara sama membolehkan kami rapat.

Saya masih ingat salah satu soalan yang saya tanya dia ketika kami mula-mula berjumpa adalah apa kelab tempatan yang dia sokong. Dia menjawab “Newell’s” dan kami terus bersembang tentang kelab-kelab bola sepak di Argentina. Itulah permulaan persahabatan kami.

Dari segi bola sepak, dia hampir sama dengan Diego Maradona. Saya pernah bermain bersama Diego dalam skuad remaja Argentina pada 1979, jadi saya tahu saya bukannya nak melebih-lebihkan Lionel.

Saya masih ingat pada 2003 saya ditemu ramah oleh wartawan surat khabar Argentina dan saya berkata: “Messi akan menjadi pemain terbaik di dunia’. Sekarang saya gembira Messi membuktikan saya betul.

Daripada sesi latihan pertama saya tahu Leo lain daripada yang lain. Saya pernah melatih pemain seperti Pedro, Pique, Suarez dan Busquet tetapi dia berada di satu tingkat atas mereka.

Saya rasa Leo membuang masa berlatih dengan kami (skuad remaja Barcelona). Bukannya sebab dia tak boleh meningkat atau tiada benda untuk dipelajari apabila berlatih dengan kami, cuma di mata saya beliau sudah cukup sedia untuk berlatih dengan skuad senior.

Di Eropah, jurulatih sentiasa berpendapat Leo terlalu muda dan tidak sepatutnya bermain dengan skuad senior. Tetapi bagi kami di Argentina, pemain muda membuat kemunculan debut di skuad senior pada umur sangat muda jika mereka bersedia. Saya melakukannya pada umur 16.

Pada umur 16 tahun, Messi sudah boleh menangani bentesan keras pemain lawan. Malah beliau boleh mengelak dengan kemahiran gelecekannya.

Saya melantiknya sebagai kapten. Dia agak pendiam, tidak banyak bercakap tetapi dia bukannya pemalu seperti yang disangka ramai orang. Disebabkan dari kecil dia sudah diajar bermain sebagai sebuah pasukan, Leo sangat setia dalam persahabatan dan solidariti.

Dia mampu memberi rasa yakin dan kepercayaan kepada ahli pasukannya tanpa perlu bercakap banyak. Bagi saya beliau adalah jenis pemimpin yang memimpin dengan aksinya.

4. Carlos de Lorenzi – jurulatih skuad remaja Sao Paulo yang mengesan Kaka yang berumur 12 tahun



Kadang kala, saya tertanya-tanya apa akan terjadi kalau saya tidak menandatangani Kaka selepas melihatnya bermain di kejohanan bola sepak di pinggir bandar Sao Paulo.

Dia baru berumur 12 tahun tetapi sudah mempunyai banyak skil dan paling penting, inisiatif untuk berjaya. Satu-satunya perkara yang membuatkan saya gak ragu-ragu dengan Kaka pada ketika itu adalah dia sangat kurus. Tetapi saya percaya dengan intuisi saya dan menandatanganinya.

Lama-kelamaan, kami sedar Kaka bukan sahaja mempunyai skil tetapi sentiasa berinisiatif membantu pasukan juga.

Dalam satu kejohanan, salah satu perlawanan kami diheret ke penentuan sepakan penalti. Walaupun dia pemain paling kecil dan muda dalam skuad bawah-15 kami, Kaka menawarkan dirinya menjadi penegmabil sepakan penalti pertama.

Dalam profesion kami, mengesan bakat muda adalah asas kerja kami. Tetapi apabila anda melihat pemain didikan anda sudah berjaya menjadi pemain terbaik di dunia, ia masih membuatkan bulu roma anda menegak. Ia membuatkan anda terfikir: apa terjadi jika anda tidak memberinya peluang?

Satu-satunya kes pemain muda yang hampir sama dengan Kaka adalah semasa saya jumpa Ronaldinho di selatan Brazil. Wow, dia merobek pertahanan pemain lawan sesuka hatinya. Perbezaan bakatnya dengan budak-budak lain sangat besar.

Saya tak percaya bakat boleh dilatih melalui kerja keras. Bagi saya, genetik juga memainkan peranan. Bakat adalah anugerah Tuhan walaupun ia banyak disia-siakan. Itulah sebabnya penting bagi seorang jurulatih untuk fokus kepada pemain, bukannya keputusan perlawanan.

Kaka biasa membuatkan jurulatih-jurulatih kami menggaru kepala kerana tubuhnya yang sangat kurus. Ada juga orang yang mencadangkan beliau untuk belajar menjadi jurutera seperti bapanya tetapi kami di Sao Paulo percaya kepada bakat Kaka.

Sekarang saya bekerja untuk Luverdense, kelab divisyen ke-3 di tengah Brazil. Saya sudah menjumpai beberapa pemain muda yang bagus seperti Kaka dan Ronaldinho tetapi memandangkan saya adalah pengurus pasukan, saya perlu menyimpan rahsia ini.

Selepas ini: Cerita jurulatih yang menemui bakat Bastian Schweinsteiger, Arjen Robben dan Carlos Tevez (Bahagian 2)

Baca juga: Xherdan Shaqiri Menyamar Sebagai Jurulatih Tua Berskil Tinggi

Sumber: The Guardian, Getty Images

LIKE dan FOLLOW SemuanyaBola di Facebook serta Twitter

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN