‘Sangat mengangumkan’. Itu ungkapan yang keluar dari mulut Presiden kelab Cerezo Osaka yang beraksi di Liga Jepun (J1 League), Hiroaki Morishima ketika lawatan rasminya ke Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang, Pahang.
Hiroaki Morishima yang turut ditemani oleh Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada ketika melawat AMD dilihat sangat berpuas hati dengan fasiliti yang dimiliki oleh AMD. Menurutnya, ianya melebihi dengan apa yang ada di Jepun.
“Fasiliti disini sangat baik. Lebih baik dari apa yang ada di Jepun. AMD bukan saja memiliki kualiti padang sangat baik malah turut mempunyai fasiliti recovery pool yang cuma terdapat di kelab-kelab besar.
“Sangat mengagumkan, dalam masa 10 tahun, rasanya bola sepak Malaysia akan lebih maju”, tambahnya lagi.
Selain itu juga, Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada turut sama menyuarakan pendapat yang sama berkaitan kemudahan yang ada di AMD dan menjelaskan Yakult sentiasa akan membantu usaha pembangunan bola sepak Malaysia.
“Saya lihat kemudahan di sini sangat baik, walaupun saya di maklumkan ianya bukan lengkap sepenuhnya. Bagi pihak Yakult Malaysia, kami akan sentiasa membantu dan menyokong segala usaha dalam pembangunan bola sepak negara,” ujarnya.
Kehadiran delegasi Cerezo Osaka ke AMD disambut oleh Pengurus Besarnya, Yusuf Ibrahim yang turut ditemani oleh beberapa orang jurulatih AMD.
“Pihak kami juga amat berterima kasih kepada pihak Cerezo Osaka dengan kerjasama yang terjalin dan diharapkan kerjasama ini dapat diteruskan di masa akan datang,” ujar Yusuf Ibrahim.
Delegasi Cerezo Osaka ini hadir ke Malaysia bagi menandatangani perjanjian MOU dua hala yang menjadikan Yakult Malaysia sebagai rakan kerjasama ASEAN. Pasukan bawah 14 tahun Cerezo Osaka juga akan turut menyertai Piala SuperMokh 2019 disember nanti.
Kerjasama tersebut akan membenarkan kelab tersebut terlibat secara langsung membangunkan bakat muda dari peringkat akar umbi di negara ini antaranya program yang akan dilaksanakan pada April 2020 ialah dengan memilih 15 pemain terbaik dari kalangan usia Bawah-15 tahun untuk diterbangkan ke Jepun.
Kredit Featured Image: Sportflex Media