Apalah nasib Jadon Sancho, bukan sahaja gagal menjaringkan sebarang gol, malah bantuan jaringan pun langsung tiada sepanjang tujuh kali diturunkan sejak menyertai Manchester United pada awal musim ini.
Pemain berusia 21 tahun ini hanya dua kali diturunkan dalam kesebelasan utama, malah sekadar memanaskan bangku simpanan ketika skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu tewas 1-0 kepada Aston Villa tempoh hari.
Keadaan tersebut ternyata menyakitkan jiwa dan sanubari Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Borussia Dortmund, Hans-Joachim Watzke yang menganggap pemain bernilai £73 juta itu tidak dilayan dengan cara yang sepatutnya di Old Trafford.
Hans-Joachim Watzke the ceo of Borussia Dortmund has spoken about @ManUtd 's handling of Jadon Sancho saying it 'hurts [his] soul' to see him struggling for game time.
Sancho arrived at Old trafford from Dortmund for £73m, after a transfer chase- pic.twitter.com/KVeZYiE415
— dimbacrazy (@dimbacrazyTv) September 27, 2021
“Sudah tentu saya sentiasa mengikuti perkembangannya. Ia juga amat menyakitkan jiwa saya melihat dia seolah-olah diabaikan,” ujar Watzke dalam satu temubual bersama SPORT1.
“Saya sayangkan Sancho, apabila melihat dia bermain dalam keadaan seperti ini, air mata saya mengalir. Saya rasa masalah utama adalah dia belum dapat serasi dengan bola sepak Inggeris.”
Peluang Sancho untuk beraksi lebih kerap agak terhad memandangkan Solskjaer lebih gemar menurunkan Mason Greenwood selaku penyerang sayap kanan. Ia membuatkan Sancho terpaksa beralih ke sebelah kiri dan jelas ia bukanlah posisi terbaiknya.
Malah prestasi buruknya ketika United tumpas 1-0 kepada West Ham United dalam aksi Piala Carabao pada minggu lalu turut mengundang kritikan bekas pemain United, Paul Ince.
“Saya tahu dia masih muda. Saya faham dia masih belajar dan dalam proses untuk membiasakan dengan permainan di sini, tetapi ini bukan permaianan FIFA,” ujar Ince.
“Ini bukannya pasal nak menggelecek, buat ‘skil’ nak lepas dua, tiga, empat orang, semuanya nampak senang bila pemain musuh datang. Mainlah dengan bola sepak sebenar!”
Dengan prestasinya ketika ini, pastinya sukar untuk Sancho meyakinkan berisan kejurulatihan memandangkan United memiliki deretan pemain sayap.
Selain Greenwood, kelab itu juga memiliki Juan Mata, Jesse Lingard, Marcus Rashford serta pemain-pemain muda seperti Shola Shoretire dan Anthony Elanga.
Rate Jadon Sancho's start to his Manchester United career out of 10. 👇 pic.twitter.com/Lz0cPRrZK8
— Football Tweet ⚽ (@Football__Tweet) September 22, 2021
Bagaimanapun Solskjaer masih optimis rekrut terbaharunya itu akan memberi impak yang besar seperti mana yang dijelmakannya bersama Dortmund.
“Masanya akan tiba. Kami tahu dia pemain yang berbakat dan kami menandatanganinya dengan harapan kami akan memiliki penyerang terbaik untuk tempoh 10 atau 12 tahun akan datang,” ujar jurulatih warga Norway itu.
“Jadon masih mencari rentak, agak malang dia masih merasa goyah setiap kali diturunkan, sebab itulah dia agak jarang bermain. Tetapi saya boleh lihat dia bekerja keras dan dia akan bertambah baik selepas ini.”