Pengakhiran kepada era Arsene Wenger di Arsenal tidaklah berakhir dengan nota yang menggembirakan.
Sebaliknya, pemergian pengurus itu dari Emirates telah menzahirkan kegembiraan dan kelegaan dalam kalangan sesetengah kelompok penyokong Arsenal.
Hal ini kerana, Wenger gagal membentuk sebuah pasukan Arsenal yang mempunyai nafsu besar untuk memenangi kejuaraan.
Bekas pemain Arsenal iaitu Santi Cazorla mengakui, ketika di era Wenger pasukan Arsenal mengalami satu mentaliti yang tidak yakin untuk mencabar kejuaraan.
Menurut laman Goal, Cazorla mengatakan pasukan Arsenal mengalami rasa takut untuk bersaing bersama-sama pasukan utama yang lain terutamanya dalam saingan liga.
“Sudah tiba masanya Arsenal mempunyai rasa percaya dalam diri sendiri dengan lebih lagi.”
“Kini Arsenal perlu lebih yakin yang pasukan ini mampu bersaing dengan pasukan-pasukan utama di England dan bukannya hanya sekadar berpuas hati menduduki tangga ketiga atau keempat.”
Dalam masa yang sama, Cazorla mengakui pemilihan Unai Emery sebagai pengurus baharu Arsenal membuktikan kelab itu dalam perjalanan ke arah yang tepat.
Namun Cazorla meminta para penyokong Arsenal untuk bersabar dalam proses peralihan yang berlaku kepada kelab pada waktu ini.
Kerana sudah pastinya, untuk mengubah apa yang sudah diatur sepanjang 22 tahun yang lalu akan mengambil masa untuk menerima aturan baharu.
“Semua perlu bersabar dalam hal ini.”
“Apabila ada mempunyai pengurus yang sudah menjadi simbol kepada kelab dan berkhidmat selama 22 tahun dan kini sudah ada pengurus baharu, penyokong perlu bersabar sedikit dengan Unai Emery.”
“Sudah pasti akan berlaku banyak perkara terhadap pasukan nanti.”