Dani Alves menyatakan kesanggupannya untuk kembali barsama Barcelona sekiranya bekas majikannya itu mahu beliau membantu pasukan berkenaan pada waktu yang dianggap kritikal ini.
Pemain pertahanan kanan berusia 38 tahun tersebut berpeluang menyertai kelab Catalan itu secara percuma kerana beliau kini merupakan pemain ejen bebas selepas menamatkan kontraknya bersama Sao Paolo secara bersetujuan bersama pada September lalu.
Alves dianggap sebagai salah seorang legenda di Nou Camp selepas membantu kelabnya menjulang 23 kejuaraan sepanjang tahun 2008 hingga 2016 yang dianggap sebagai era emas terutamanya sewaktu Barca di bawah kendalian Pep Guardiola.
Bercakap kepada media Sepanyol, beliau yang membantu Brazil memenangi pingat emas ketika kejohanan Olimpik Tokyo 2020 tempoh hari tidak menolak untuk kembali semula ke kelab yang menaikkan namanya di mata dunia itu.
Dani Alves Sebaris Atlet Elit Dunia Lain Selepas Bantu Brazil Raih Emas Olimpik
Sementara menunggu sehingga Januari 2022, beliau memberi jaminan akan memastikan tahap fizikal dan kecergasannya berada pada tahap terbaik meskipun usianya sudah dianggap sudah pun berada di penghujung karier.
“Saya banyak kali ulang bahawa saya meninggalkan Barcelona sebelum ini kerana saya lihat ada perkara yang saya fikirkan tak betul. Tetapi saya tegaskan jika Barca perlukan saya, saya akan kembali semula kepada mereka tak kira di mana saya berada,” kata Alves.
“Kasih sayang, cinta dan rasa hormat saya terhadap kelab ini terlalu besar. Jika Barca rasa mereka perlukan saya, mereka hanya perlu ambil telefon dan hubungi saya.”
“Saya yakin masih mampu menyumbang di mana sahaja saya bermain, tetapi jika di Barcelona pastinya ia lebih bermakna. Tambahan pula dengan kualiti pemain-pemain muda mereka ketika ini. Gabungan pemain muda dan pemain berpengalaman adalah gandingan yang sempurna.
A Barcelona return for 38-year-old Dani Alves? 🤔 pic.twitter.com/DHTze29aeI
— ESPN FC (@ESPNFC) October 16, 2021
“Ia akan memberi ruang kepada pemain-pemain muda ini menjadi lebih cepat matang. Ia adalah cara semula jadi, jika mereka buat kesilapan, ia adalah proses untuk mereka belajar.
Ditanya kenapa begitu kuat tekadnya untuk kembali ke Barcelona, Alves mengakui beliau mahu sebuah kelab yang serius memburu kejuaraan dan berharap bekas kelabnya itu akan kembali mencapai kegemilangan.
“Saya mahu membawa mentaliti menang dan berjuang ke mana sahaja saya pergi. Jika pasukan itu rasa mereka sudah hilang nilai itu, saya sedia untuk membawanya kembali,” ujarnya lagi.
“Saya lihat memang satu cabaran untuk presiden Barca kembali meletakkan mereka ke tempat yang sepatutnya. Kita perlu berlaku adil kepadanya selepas apa yang berlaku.
“Barca pastinya akan kembali, mungkin tiga bulan, setengah tahun atau setahun. Tetapi bagi yang cintakan kelab ini, mereka akan lakukan apa sahaja untuk membantu mengembalikan kegemilangannya.”