Casemiro antara bakat yang digilap sebaik-baiknya ketika era Zinedine Zidane di Real Madrid. Kali ini kami ingin berkongsi sedikit analisis tentang pemain ini.
Dalam satu sidang media ringkas, Max Allegri memberitahu wartawan, ramai orang memikirkan Cristiano Ronaldo, Luka Modric, Toni Kroos dan Sergio Ramos sebagai pemain penting dalam final UCL esok.
Namun tidak ramai yang akan menyebut nama Casemiro. Bagi Allegri, Casemiro adalah pemain yang harus diberikan tumpuan esok.
Casemiro
Rasanya tidak perlu untuk kami memperkenalkan pemain ini secara biodata ala buku biodata zaman sekolah.
Kami akan terus menerangkan tentang posisi dan peranan beliau di dalam pasukan.
Casemiro adalah pemain tengah pertahanan berusia 25 tahun dari Brazil. Beliau memegang peranan no.6 di dalam sistem pivot tunggal ataupun berkembar dalam pasukan Real Madrid.
Pivot tunggal adalah ketika Real Madrid bermain 4-3-3 ataupun 4-1-4-1. Manakala pivot kembar ketika Zidane bermain sistem seperti 4-4-2, 3-5-2 ataupun 4-2-3-1.
Pemain ini memiliki karakter bertahan yang kuat dan keras. Beliau ada kemampuan untuk memenangi bola tinggi yang sangat baik.
Selain itu Casemiro juga seorang pemintas bola yang sangat berkesan di dalam padang. Beliau memiliki sikap komitmen yang tinggi untuk melakukan hadangan.
Pemusnah gerakan
Pemusnah (destroyer) adalah antara tugasan wajib untuk seorang pemain tengah pertahanan. Beliau memiliki reputasi yang sangat baik untuk memusnahkan pemain terbaik pihak lawan.
Casemiro pernah ‘memusnahkan’ pemain seperti Lionel Messi di zon 14. Satu zon yang sangat penting untuk dilindungi Real Madrid. Beliau bermain ala peranan Makelele di dalam padang.
Lihat cara beliau menggunakan kawalan zonal dan jarak yang sesuai untuk memastikan pasukan lawan sukar untuk mengalirkan bola ketika serangan balas.
Beliau aktif untuk memberikan sokongan (covering) dalam proses pertahanan. Ia adalah prinsip yang sangat penting dalam bertahan secara berpasukan.
Keseimbangan pasukan
Beliau memberikan keseimbangan di tengah kepada pasukan sama ada ketika bertahan ataupun menyerang.
Beliau akan cuba melindungi bahagian pertahanan dengan aktif. Ini yang membuatkan Bale berkata sebelum ini:
“Adanya beliau, kami sentiasa ada kelegaan ketika diserang balas. Casemiro akan membentes semua benda yang bergerak melepasi beliau.”
Dengan perlindungan yang aktif ini, beban dan risiko untuk bek tengah dapat dikurangkan.
Fasa serangan
Pada fasa serangan Casemiro adalah pivot yang memiliki hantaran yang baik. Purata hantaran tepat beliau musim ini adalah 85.7%.
Misalnya di bawah ini beliau akan memberikan sokongan dari bawah (depth) ketika rakan beliau ditekan.
Selain itu Casemiro sentiasa menyokong pemain seperti Kroos dan Modric. Ini yang memberikan ‘lesen’ kepada 2 pemain ini lebih bebas untuk terlibat secara advance di final third.
Contohnya dalam fasa di bawah ini, anda melihat beliau membantu pasukan membentuk 4-1-4-1 ketika fasa menyerang.
Rumusan
Casemiro bukan sahaja pemain yang akan melakukan kerja kotor (dirty work) di tengah tetapi beliau pada masa yang sama akan memperbaiki kualiti pemain lain di sekitar beliau.
Beliau boleh melengahkan gerakan lawan untuk memastikan rakan-rakan beliau turun dan membentuk formasi untuk bertahan.
Maka tidak hairanlah jika Allegri menyatakan pemain ini perlu lebih diberikan kredit.
Harus diingat, Casemiro adalah pemain yang sangat konsisten dalam era Zidane. Beliau juga boleh beraksi baik dalam mana-mana formasi dan sistem Zidane.