Quantcast

BERITA

Carragher Mohon Maaf Kerana Meludah Remaja Perempuan

Gara-gara kerana bertindak di luar batasan selepas perbuatannya meludah ke arah remaja pe­rempuan berusia 14 tahun di dalam sebuah kereta yang sedang bergerak berjaya dirakam kamera, pengulas Sky Sports serta bekas pertahanan Li­verpool, Jamie Carragher memohon maaf dan mengakui beliau kesal dengan perbuatan itu.

“Ia di luar kawalan dan saya meminta maaf secara peribadi kepada seluruh keluarga itu petang ini. Saya diapi-apikan beberapa kali sepanjang laluan ketika dirakam dan hilang sabar. Saya mohon maaf,” kata Carragher di Twitter.

Dalam rakaman yang disiarkan secara meluas oleh media Bri­tain, Carragher kelihatan menurunkan cermin keretanya dan meludah ke arah sebuah lagi ken­deraan selepas Liverpool tewas 1-2 kepada Manchester United, Sabtu lalu.

Media Britain melaporkan, air ludah bekas pemain yang berusia 40 tahun itu telah terkena muka remaja perempuan berkenaan yang duduk di bahagian tempat duduk penumpang.

Kedengaran suara seorang lelaki berkata:

“Jamie lelaki tidak bernasib baik, kalah 2-1!” sebelum Carragher bertindak balas dengan meludah ke arah individu tersebut.

Carragher berkata, dia te­lahpun memohon maaf kepada keluarga remaja tersebut, dan mengakui gagal mengawal kemarahannya.

Disebabkan perbuatannya itu, SkySports mengumumkan penggantungan pengulas itu berkuatkuasa serta-merta.

Bekas bintang Liverpool tersebut sebelum ini ditugaskan membuat liputan perlawanan itu sebagai pengulas sukan untuk stesen televisyen Britain itu.

Carragher ketika ditanya tentang masa depannya dengan SkySports, beliau berkata:

“Kami sudah berbincang hari ini. Mereka sangat kecewa kerana ia melibatkan imej syarikat mereka.

“Saya suka kerja saya dan saya memang mahu kekal di syarikat ini. Saya harap saya tidak dinilaikan berdasarkan insiden tersebut dan hanya dinilaikan berdasarkan hasil kerja saya,” jelasnya.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!