Kecemerlangan Marko Arnautović dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini dengan memikul tugas sebagai penyerang utama West Ham United telah membuatkan nama beliau kini menjadi sasaran kelab-kelab di Eropah.
Situasi itu turut mendapat reaksi dari bekas penyerang West Ham, Carlton Cole yang meminta agar kelab itu menawarkan kontrak baru sambil mengharapkan Arnautović kekal disana.
Bagi Cole, beliau menyifatkan Arnautović adalah penyerang terbaik yang dimiliki kelab dan jika pasukan itu melepaskannya, ia adalah satu kerugian yang amat besar untuk kelab.
“Jika dia (Arnautović) pergi, itu akan menjadi kerugian paling besar bagi West Ham, tetapi kami selalu akan menemukan cara untuk mengekalkannya.” kata Cole menerusi Goal.
“Kami selalu berusaha melakukannya.”
“Saya tidak ingin dia pergi. Saya fikir kelab tidak akan membiarkan dia pergi, kerana dia adalah pemain utama kami.”
Pemain yang disayangi
Penyerang kelahiran Austria ini menjalani karier pertamanya di England dengan menyertai Stoke City pada 23 September 2013.
Selepas 4 musim di Stoke, pengurus West Ham, Slaven Bilic berminat untuk mendapatkan Arnautović dan kelab itu bersetuju membuat bayaran sebanyak 22,3 Juta Euro pada 22 Julai 2017.
Prestasi Arnautović bersama West Ham boleh dikatakan terdapat peningkatan.
Pada musim ini, beliau sudah berjaya menjaringkan 5 gol untuk 11 perlawanan yang telah dilalui berbanding musim lalu dengan hanya menjaringkan 11 gol untuk 35 perlawanan secara keseluruhan.
Cole turut menilai bahawa penyokong The Hammers ketika ini sudah mula menjadikan Arnautović sebagai pemain kesayangan dan ikon di kelab itu.
Tambah Cole lagi, dia percaya Arnautović juga mempunyai cinta yang sama kepada kelab dan pemain itu tidak akan meninggalkan kelab tersebut untuk beberapa musim yang akan datang.
“Dia bahagia di kelab ini. Saya fikir dia tidak berminat untuk pergi. Dia pemain yang dicintai di sini,” kata Cole.
“Saya tidak dapat melihat sebab apakah dia perlu meninggalkan kelab.”
“Semua orang tahu apa yang mampu dia lakukan di sini dan saya fikir kami akan membuatnya untuk bertahan.”
Jadi sasaran kelab lain
Walaupun Arnautović berjaya mengangkat namanya pada musim ini, namun tidak bagi West Ham.
Selepas 12 perlawanan, West Ham kini berada di tangga ke-13 carta EPL dengan hanya mengumpul 12 perlawanan.
Hal tersebut membuatkan banyak pihak mula meletakkan sasaran untuk membawa Arnautović keluar dari West Ham dan menyertai pasukan yang lebih konsisten.
Pemain berusia 29 tahun itu telah dikaitkan bakal meninggalkan kelab itu pada Januari depan.
Chelsea, Manchester United, Inter Milan dan Everton antara kelab yang berminat menandatanganinya.