Menjelang kunjungan Swansea City ke Old Trafford pada hujung minggu ini, pengendali pasukan, Carlos Carvalhal memberikan pujian menggunung terhadap rakan sejawatannya, Jose Mourinho.
Carvalhal menyifatkan bahawa rakan senegaranya itu merupakan raja buat bola sepak Portugal dan juga pakar dalam permainan minda.
Perhitungan pada hari Sabtu nanti merupakan cabaran pertama buat pengendali berusia 52 tahun itu berdepan dengan Jose Mourinho dan disifatkan sebagai cabaran paling sukar sejak beliau mengambil alih tugasan di Swansea.
”Dia merupakan raja bola sepak buat kami,” ujar Carvalhal mengenai Mourinho. ”Dia merupakan pengurus terbaik buat Porto.”
”Dia membuka pintu buat generasi baru pengurus untuk berhijrah ke luar negara. Dia juga membuka idea tersebut kepada dunia terhadap pengurus dari Portugal.”
Walaupun berasal dari negara yang sama, Carvalhal menegaskan personaliti mereka berdua adalah sangat berbeza.
”Dia adalah seorang pejuang. Apa yang saya maksudkan dia sangat baik dalam permainan minda.”
”Cara dia bertindak, dia gemarkan keadaan tersebut dan kebiasaannya dia akan menang semua pertempuran itu. Saya sangat berbeza.”
”Ianya akan menjadi perlawanan yang sukar buat kami. Jika kami mencapai sesuatu, kami akan sangat gembira. Jika kami gagal, ianya adalah perkara biasa.”
”Sekiranya anda hanya mempunyai 1% peluang, anda perlu mempunyai 100% kepercayaan. Kami akan menyediakan pasukan yang mencuba untuk mencipta sesuatu di Old Trafford.”
Manchester United hanya tewas dua kali daripada 42 perlawanan terakhir mereka di laman sendiri dan Carvalhal mengakui ‘99.99%’ orang akan mengatakan kemenangan buat tuan rumah pada Sabtu nanti.
”Manchester United adalah pasukan yang sangat kuat. Mereka menang 95% perlawanan di tempat sendiri dan pasukan Mourinho akan sentiasa sangat kuat di tempay sendiri.”
”Tetapi ada dua perkara, saya tidak pernah tewas bertemu dengannya atau di Old Trafford, kerana ini merupakan kali pertama saya bertemu dengannya dan beraksi di sini, jadi ianya adalah rekod yang baik!”