Carabao Cup: Man United Tak Perlukan Pengadil Tumbangkan Brighton

Manchester United menewaskan Brighton buat kali kedua dalam masa empat hari  untuk layak ke peringkat suku akhir Carabao Cup. Kali ini United menang dengan jaringan selesa 3-0 dalam aksi Carabao Cup yang berlangsung di Falmer Stadium.

Jika pada Sabtu lepas skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer memerlukan penalti dramatik yang dihadiahkan menerusi VAR selepas wisel tamat ditiup untuk menang 3-2, kali ini ia dimenangi tanpa sebarang insiden.

Dengan kedua-dua pasukan menurunkan rata-ratanya barisan simpanan dalam perlawanan yang disimbahi hujan, ia berakhir dengan kemenangan rutin The Red Devils.

Scott McTominay membuka akaun jaringan pasukannya apabila tandukannya dari sepakan percuma Juan Mata menemui sasaran dari jarak dekat pada hujung separuh masa pertama.

Selepas Pogba dan Marcus Rashford dibawa masuk, Mata kemudiannya menambah gol kedua pelawat melalui penyudah tenang susulan kuisan kemas Donny van de Beek.

Pogba mengesahkan kemenangan United dengan gol sepakan percuma yang terbias sebelum menerjah hujung atas pintu gol lawan.

United boleh menambah skor jika Odion Ighalo tidak mensia-siakan peluang selepas berjaya menewaskan penjaga gol Jason Steele. Tetapi skor tersebut mungkin boleh menjadi tipis jika tidak kerana aksi menyelamat cemerlang Dean Henderson yang menafikan percubaan jarak dekat Leandro Trossard.

Solskjaer beri peluang

Kebelakangan ini penyokong Manchester United menyuarakan ketidakpuasan hati mereka dengan aktiviti pasaran perpindahan kelab mereka yang tidak aktif.

Peluang ini digunakan oleh Solskjaer untuk membuat 10 pertukaran pemain daripada aksi Sabtu lepas untuk membuktikan pemain pilihan keduanya mempunyai kualiti. Hanya Victor Lindelof – yang kerap dikritik oleh penyokong kebelakangan ini – kekal dalam kesebelasan utama.

Daripada 10 pemain itu, Eric Bailly dan Mata mempamerkan persembahan berkualiti yang mampu menggugat tempat kesebelasan utama Lindelof dan Mason Greenwood menjelang aksi menentang Tottenham Hotspur Ahad ini.

Henderson juga tidak terkecuali dengan aksinya menafikan percubaan Trossard.

Sebaliknya Daniel James, Ighalo dan beberapa pemain lagi tidak memberikan sebarang sebab untuk Solskjaer mengubah hirarki pemain dalam skuadnya. Malah United nampak jauh lebih berbahaya selepas kemasukan Marcus Rashford dan Pogba.

Baca juga artikel lain yang berkaitan:

Leave a Reply