Sebelum ini Fabio Capello pernah menolak kemungkinan untuk menjadi pengurus Itali dan tidak lama kemudian pergi ke China dan menikmati pendapatan yang sangat mewah di sana.
Namun selepas beliau meninggalkan Jiangsu Suning atas persetujuan bersama, Capello kini mengakui beliau akan mempertimbangkan jawatan pengurus pasukan kebangsaan Itali.
Difahamkan, Fabio Capello sebelum ini tidak sehaluan dengan FIGC kerana beberapa pertikaian serta isu berbangkit. Oleh sebab itu, sukar untuk Capello dan FIGC bekerjasama dalam satu pasukan.
Tetapi kini, FIGC sudah dirombak dan timbalan komisioner yang bertanggungjawab untuk pemilihan jurulatih ialah Alessandro Costacurta yang merupakan protege Fabio Capello. Ia menjadi antara sebab Capello dan FIGC kini sudah boleh duduk semeja.
Itali dikatakan akan mengumumkan pengurus mereka yang baru pada Jun ini. Antara nama yang turut dikaitkan dengan jawatan tersebut adalah Antonio Conte yang kini berkhidmat dengan Chelsea.
Fabio Capello antara nama besar yang dikehendaki oleh Itali. Beliau memiliki pengalaman pengurusan yang sangat luas dan menempa banyak kejayaan ketika menguruskan kelab seperti AC Milan, Real Madrid, AS Roma dan Juventus.
Jawatan pengurus skuad kebangsaan terakhir Fabio Capello adalah England. Beliau memiliki rekod yang baik dengan Rusia ketika menguruskan negara tersebut dari 2012-2015 dengan pilihan pemain yang terhad.
Itali kali ini tidak terburu-buru dalam membuat keputusan untuk memastikan mereka mendapat calon terbaik. Bola sepak kebangsaan bergelap selepas negara tersebut gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2018.