Pemenang Ballon d’Or 2006, Fabio Cannavaro mengakui amat sukar untuk melihat liga bola sepak di Eropah kembali bersambung sebelum musim 2019/20 tamat susulan wabak COVID-19 yang melanda pada ketika ini.
‘Serangan’ hebat wabak tersebut terutamanya yang dialami Itali dan Sepanyol menyaksikan liga-liga utama di Eropah seperti Liga Perdana Inggeris (EPL), La Liga, Serie A, Bundesliga dan Ligue 1 ‘tutup kedai’ buat sementara. Saingan Liga Juara-Juara Eropah dan Liga Europa turut tidak terkecuali.
Cannavaro yang kini membimbing skuad gergasi China, Guangzhou Evergrande mendedahkan bahawa beliau tidak yakin liga-liga tersebut akan kembali pada bulan Mei nanti.
”Dalam masa kurang daripada satu bulan, tidak dapat dipastikan apa yang akan berlaku dalam dunia ini.”
”Saya merasakan ia akan mengambil masa lebih lama untuk semua ini berakhir di Itali dan Sepanyol. Ia akan menjadi sukar buat bola sepak Eropah untuk kembali sebelum musim ini berakhir,” ujar Cannavaro menurut sumber Goal.
Dalam pada itu, bekas pemain pertahanan tengah Juventus dan Real Madrid itu turut berkongsikan situasi yang dialaminya di Guangzhou.
”Virus di Guangzhou berada dalam kawalan dan kehidupan menjadi kembali normal. Tiada lagi sekatan, hanya ‘dikuarantin’ 14 hari di rumah.”
”Dalam masa dua hari, masa menamatkan kuarantin saya. Tinggal di rumah adalah penting kerana kita tidak memberi peluang kepada virus untuk menjangkiti lebih ramai orang.”
”Kita perlu belajar daripada China, mereka lebih berpengalaman menghadapi situasi ini,” ujar Fabio Cannavaro lagi.
Kredit foto: Guanzhou Evergrande