Iker Casillas mungkin telah muncul sebagai pemain paling banyak mendapat caps antarabangsa di Eropah dengan 166 penampilan, tetapi rekod itu sedikit pun tidak menghalang ramai penyokong Sepanyol yang mempersoalkan kebolehan beliau menjaga gawang La Roja.
Dengan kehadiran ramai penjaga gol muda yang hebat seperti David de Gea (Manchester United), Sergio Rico (Sevilla), Sergio Asenjo (Villareal) dan Jaume Domènech (Valencia), buat kali pertamanya Casillas menghadapi risiko digugurkan daripada skuad Sepanyol untuk EURO 2016.
Prospek menggugurkan penjaga gol Porto itu daripada skuad EURO 2016 turut disuarakan oleh bekas penjaga gol Sepanyol dan rakannya sendiri, Santiago Cañizares.
Santiago Cañizares dan Iker Casillas merupakan kawan baik, dan kedua-duanya datang daripada sistem akademi Real Madrid.
Ketika bercakap dalam program radio El Larguero selepas Sepanyol seri 0-0 dengan Romania pada Ahad lepas, Cañizares yang mesra dipanggil Cañete berpendapat David de Gea sepatutnya sudah menjadi penjaga gol no.1 Sepanyol.
“De Gea sepatutnya sudah menjadi penjaga gol no.1. Prestasi beliau telah lama mengatasi tahap prestasi Casillas.”
Cañizares yang mengumpul 46 caps bersama Sepanyol ketika bermain untuk Valencia turut berpendapat ketua jurulatih Sepanyol, Vincente del Bosque tidak perlu membawa Casillas ke Perancis dalam EURO 2016 nanti.
“Jika De Gea menjadi penjaga gol no.1, saya takkan bawa Casillas dalam skuad sebagai pengganti. Sergio (Rico) dan Jaume (Domènech) lebih sesuai menjadi pengganti De Gea.”
Di Porto, Casillas tidak terlepas daripada kritikan peminat Porto.
Paling terbaru, beliau melakukan beberapa kesilapan besar ketika Porto kalah mengejut 0-1 kepada Vitória de Guimarães dan 1-3 kepada Braga dalam saingan liga Portugal.
Baca juga: 5 Sebab Mengapa Prestasi Real Madrid Teruk Pada 2015