Kebetulan atau tidak, beberapa jam sebelum Nelo Vingada diumumkan meletakkan jawatan, bekas pertahanan kental England, Sol Campbell menyatakan minatnya untuk melatih skuad Harimau Malaya.
‘The Professor’, Vingada secara rasmi telah meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan berkuat kuasa serta merta, kelmarin.
Dengan pemergian jurulatih berusia 64 tahun itu, Malaysia sekali lagi ‘kehilangan arah’ tanpa sentuhan ketua jurulatih. Dan dek kerana itu, ‘angin’ siapa pengganti, kembali bertiup di seantero negara.
Melalui kenyataan rasmi Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, pengganti Vingada akan ditentukan dalam masa terdekat.
Ia untuk menjamin persediaan skuad Harimau Malaya tidak terjejas memandangkan kejohanan Piala AFF akan dilangsungkan pada penghujung tahun hadapan.
Mungkin pelbagai andaian dan cadangan berada di dalam kotak fikiran para pemerhati bolasepak tempatan ketika ini. Ada yang mahukan sentuhan anak tempatan dan ada yang mahukan acuan luar negara.
“Untuk melatih Malaysia, apa salahnya?” ujar Campbell kepada akhbar The Malay Mail ketika program bersama Astro Supersport di Kuala Lumpur apabila ditanya oleh pihak media.
“Malaysia mungkin memerlukan perunding bola sepak yang baik dan saya sedia membantu,” tambahnya lagi yang pernah melalui karier yang panjang di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Campbell turut menyatakan dia sememangnya berminat untuk melatih di negara-negara Asia. Berusia 43 tahun, dia pernah menjadi pembantu jurulatih skuad kebangsaan Trinidad and Tobago untuk tempoh enam bulan.
Walaubagaimanapun, Campbell dilihat kerap menyatakan keinginannya untuk menjadi jurulatih. Dia pernah meluahkan kekecewaannya kepada akhbar The Guardian mengenai isu ini.
The Guardian melaporkan, bekas pertahanan Arsenal itu mengatakan dia kecewa kerana tiada kelab yang mahu memberi tawaran kepadanya, waima sebarang temuduga sekalipun.
“Saya bersedia untuk pergi ke kelab yang bukan liga, dan jika mereka tidak mampu untuk membayar gaji saya, hanya bayar kepada saya bonus kemenangan. Saya bersedia,” jelasnya kepada The Guardian.
Mengikut rekod, Campbell juga pernah menyatakan minatnya untuk mejadi ketua jurulatih pasukan Amerika Syarikat kepada ESPN pada November lalu.