Sekurang-kurangnya 18 daripada 20 ahli gabungan telah mencalonkan setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin untuk jawatan Presiden FAM yang akan dipertandingkan pada Kongres FAM Julai depan.
Itu bermakna beliau dijangka menang tanpa bertanding selepas majoriti ahli-ahli gabungan FAM telah perkenan dan bersedia untuk membantu Hamidin meneruskan tugas yang ditinggalkan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bagi memartabatkan pasukan kebangsaan serta bola sepak tempatan.
“Hamidin dijangka menang tanpa bertanding (jawatan Presiden FAM) pada Kongres FAM akan datang selepas majoriti 18 ahli gabungan FAM telah mencalonkan nama beliau untuk jawatan itu.
“Ini menunjukkan Hamidin memiliki reputasi cukup besar dan mendapat kepercayaan daripada pelbagai pihak termasuk Tunku Ismail.
“Hanya dua ahli gabungan yang belum memberikan borang pencalonan tetapi dengan 18 pencalonan itu sudah membuktikan bahawa Hamidin mungkin sudah menang tanpa bertanding,” kata sumber FAM kepada Kosmo.
Setakat ini masih tiada mana-mana individu yang dicalonkan daripada ahli-ahli gabungan FAM untuk bertanding merebut jawatan Presiden FAM.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi menegaskan ia akan menjadi tindakan sia-sia jika ada individu berminat untuk bertanding dengan Hamidin.
Ini kerana Yusoff menganggap kewibawaan serta pengalaman luas Hamidin di dalam bola sepak tempatan antara faktor utama Tunku Ismail menaruh kepercayaan kepada beliau untuk menjadi Presiden FAM baharu.
“Saya harap keputusan sebulat suara Exco FAM menyokong Hamidin telah memberi isyarat. Kalau ada yang berhasrat menawarkan diri (bertanding Presiden FAM), saya harap mereka memikirkan isyarat jelas Exco FAM bagi memastikan saranan Tunku Ismail melicinkan proses, berjalan tersusun dan tiada apa-apa kemelut,” katanya.